KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki di Taman Setapak Jaya yang disyaki menyerang seorang pemandu lori dengan menggunakan objek tajam di Pandan Perdana dua hari lepas, sehingga menyebabkan pemandu lori itu mengalami kecederaan di pergelangan tangan dan belakang badan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata polis menerima laporan berhubung serangan itu pada pukul 4.15 petang hari yang sama daripada isteri pemandu lori berkenaan.
“Pemandu lori itu terpaksa mendapat rawatan di Hospital Ampang setelah mengalami kecederaan di pergelangan tangan, dan dua kesan tetakan kelihatan di belakang badan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata polis telah menahan suspek berusia 28 tahun semasa berada di dalam keretanya berhampiran Taman Setapak Jaya, pada 12.30 tengah malam, Rabu lepas, dan merampas sebilah parang berhulu hitam yang dipercayai digunakan suspek untuk menyerang mangsa.
Katanya siasatan awal mendapati suspek mempunyai 10 rekod kesalahan jenayah lampau dan ujian awal saringan air kencing positif dadah jenis syabu, amphetamine dan tetrahydrocannabinol.
Mohd Azam berkata suspek yang bekerja sebagai pengutip sampah itu direman hingga Selasa depan bagi membantu siasatan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial