AM

Johor Cari Kaedah Tangani Isu Kekurangan Bekalan Bpt - Mb

27/09/2023 08:28 PM

ISKANDAR PUTERI, 27 Sept (Bernama) -- Kerajaan Johor sedang mencari kaedah terbaik bagi menangani isu kekurangan bekalan beras putih tempatan (BPT) di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata walaupun bekalan beras dan barang keperluan asas bukan di bawah kawalan kerajaan negeri, namun ia menjejaskan kesejahteraan penduduk Johor.

"Isu bekalan beras ini merupakan satu isu besar bukan Johor sahaja, tetapi seluruh negara, namun kita tidak bersikap lepas tangan dalam soal ini kerana akhirnya yang terkesan adalah rakyat Johor.

"Pendekatan sama diambil dalam aspek penyelenggaraan jalan-jalan persekutuan di Johor, begitu juga dalam isu kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ)," katanya kepada pemberita selepas melawat Mini Karnival Maju Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Berhubung Belanjawan Johor 2024 yang akan dibentangkan November ini, Onn Hafiz berkata belanjawan itu akan memberi fokus kepada usaha meningkatkan kebolehpasaran produk usahawan tempatan di peringkat domestik dan antarabangsa, khususnya sektor industri kecil dan sederhana (IKS).

"Ada banyak produk, makanan, perkhidmatan atau pakaian daripada syarikat tempatan Johor mempunyai potensi untuk diketengahkan dan kita akan bantu mereka agar dapat melonjak ke tahap seterusnya.

"Sehubungan itu, golongan usahawan ini akan bertemu dengan Exco terlibat dan juga kepimpinan PUJB (Perbadanan Usahawan Johor) untuk berbincang lanjut berhubung keperluan dan isu dihadapi mereka menjelang Belanjawan Johor 2024," katanya.

Mengulas mengenai Mini Karnival Maju Johor, beliau berkata PUJB memilih 11 produk yang dilihat berpotensi besar untuk diketengahkan ke tahap lebih tinggi, antaranya jenama seperti Haos Ek?, Lazy Monday, Yumny Mi Sayur dan jenama pakaian Hasnuri.

Tambahnya setakat ini terdapat lebih 30,000 usahawan tempatan berdaftar di bawah PUJB.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan