AM

Atap, Siling Rumah P. Ramlee Rosak

27/09/2023 08:31 PM

GEORGE TOWN, 27 Sept (Bernama) -- Atap dan siling rumah kelahiran Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang diperbuat daripada anyaman mengkuang di Jalan P. Ramlee di sini, hampir roboh akibat masalah kebocoran.

Keadaan rumah seniman agung negara itu mendapat perhatian bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Rais Yatim yang memuat naik di laman Facebook beliau mengenai keadaan siling selepas mengunjungi rumah terbabit Ahad lepas.

"Betul-betul terkejut bila mendapati atap dan siling rumah asal seniman agung kita ini hampir roboh lantaran kebocoran yang berlarutan.

“Keadaannya (rumah) amat menyedihkan, apatah lagi ini rumah P. Ramlee, seniman idola kita, tentu sekali roh ‘Ramlee’ akan menangis melihat rumah pusakanya dalam keadaan begitu terbiar," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Justeru, Rais menggesa pihak bertanggungjawab segera melakukan kerja pembaikan bahagian atap siling yang mengalami kerosakan.

Presiden Kelab Peminat P. Ramlee Pulau Pinang Tan Sri Mohd Yussof Latiff berharap Arkib Negara selaku pihak yang menguruskan rumah P. Ramlee, supaya segera membaiki siling rumah itu bagi memastikan khazanah negara terpelihara.

''Saya kecewa dengan keadaan rumah kelahiran Seniman Agung P. Ramlee yang kini rosak, tidak sepatutnya keadaan ini berlaku.

''Rumah ini adalah warisan negara iaitu di sini lahirnya seniman agung negara dan rumah ini tidak ada di tempat lain. Saya berharap rumah ini dapat dibaik pulih segera oleh pihak bertanggungjawab,'' katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, jurucakap Arkib Negara ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya maklum mengenai kerosakan dan kebocoran atap serta siling rumah P. Ramlee sejak minggu lepas dan akan dibaiki bermula esok.

"Pihak Arkib Negara memang maklum kejadian tersebut (sebelum di muat naik di Facebook Rais) dan sedia untuk baiki kerosakan atap dan siling di rumah itu yang dijalankan oleh pihak kontraktor bermula esok," katanya tanpa mengulas jumlah kos membaikinya.

Kenyataan media terperinci akan dikeluarkan oleh Arkib Negara dalam masa terdekat.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan