POLITIK

Prk: Kemenangan Bn Jamin Pembangunan Di Pelangai Diteruskan - Ismail Sabri

27/09/2023 03:28 PM

BENTONG, 27 Sept (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) dapat terus menjamin pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 7 Okt ini, kata bekas perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata calon BN Datuk Amizar Abu Adam boleh menjadi ' jambatan' antara penduduk dan Kerajaan negeri Pahang dalam membawa pembangunan di DUN Pelangai. 

"Kalau (calon daripada) parti bukan daripada BN, mereka akan jadi pembangkang. Saya rasa susah nak bawa pembangunan di sini, tetapi kalau calon kita menang, kerajaan Pahang ini adalah di bawah BN.

"Kita (BN) boleh kerja terus untuk membantu rakyat di sini. Kalau pembangkang yang menang dia tak mampu buat," katanya kepada pemberita ketika mengiringi Amizar berkempen di Felda Chemomoi di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata beliau yakin Amizar, seorang anak jati Felda Chemomoi diterima rakyat kerana sikap rendah dirinya. 

"Sewaktu saya berjalan dengan dia (Amizar), nampaknya hampir semua orang yang kami jumpa kenal dia. Mereka kata Amizar ini seorang yang baik dan rendah diri, itu yang penting," katanya yang telah dua hari turun padang bersama Amizar menyantuni masyarakat di sini.

Amizar, 50, yang merupakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong bakal berdepan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli pada PRK DUN Pelangai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan