SEREMBAN, 26 Sept (Bernama) -- Dua daripada empat kakitangan perubatan awam direman enam hari bermula hari ini, kerana disyaki meminta dan menerima rasuah melibatkan jumlah keseluruhan RM11,000 sebagai balasan menawarkan kerja pengurusan mayat bukan Islam di sebuah hospital, di sini sejak tahun lepas.
Perintah reman terhadap dua suspek tersebut, masing-masing lelaki berusia 35 dan 39 tahun itu, dikeluarkan Majistret Syed Farid Syed Ali selepas menerima permohonan pegawai pendakwa Zainab Yahya, di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Kedua-dua suspek diwakili Peguam M. Parameswary dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Bagaimanapun dua lagi suspek termasuk seorang wanita, dilepaskan dengan jaminan RM10,000 setiap seorang tanpa deposit dengan seorang penjamin atas faktor kesihatan, selepas keterangan mereka direkodkan.
Media semalam melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan menahan empat kakitangan perubatan awam berusia antara 30 dan 50 tahun, kira-kira 4 petang hingga 7 malam di pejabat SPRM negeri itu, ketika diminta hadir memberi keterangan.
Kesemua suspek itu bertugas di hospital yang sama, dipercayai menerima wang rasuah melibatkan 42 transaksi bank, daripada dua syarikat yang menawarkan perkhidmatan pengurusan mayat antara tahun 2022 hingga kini.
Pengarah SPRM Negeri Sembilan Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail, mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial