EKONOMI

Sunway Sasar Hasilkan 150,000 Kg Sayuran Organik Setahun Menjelang 2030

26/09/2023 04:16 PM

IPOH, 26 Sept (Bernama) -- Sunway Group menyasar untuk menghasikan sekurang-kurangnya 150,000 kilogram sayur-sayuran setahun menjelang 2030 melalui pertanian organik.

Pengasas dan Pengerusi Tan Sri Dr Jeffrey Cheah berkata kumpulan itu sedang menangani isu keterjaminan makanan melalui Ladang Organik seluas lapan hektar di Sunway City Ipoh.

Ladang Organik Sunway itu menghasilkan buah-buahan dan sayur-sayuran bebas bahan kimia dan racun perosak dengan memperoleh air dari pergunungan dan sumber mata air semula jadi. 

“Dalam perkembangan berkaitan, unit teknologi pertanian kami, Sunway XFarms, kini beroperasi di ladang vertikal tertutup  terbesar di pusat bandar Kuala Lumpur.

Ladang bandar ini membekalkan lebih 13,000 kilogram sayur-sayuran segar setiap bulan kepada masyarakat di sekitar bandar berhampiran,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada satu majlis di sini hari ini.

Cheah berkata inisiatif itu bertujuan untuk mengubah industri pertanian di Malaysia menjadi sektor berintensifkan pengetahuan dengan pekerjaan berpendapatan tinggi untuk penduduk tempatan.

Beliau berkata di Sunway City Iskandar Puteri, kumpulan itu sedang membangunkan bandar yang dikenali sebagai Nature's Capital City.

“Keindahan alam semula jadi di bandar itu, seperti pantai yang menghadap Singapura menyeberangi Selat Johor, Sungai Pendas sepanjang tujuh kilometer dan hutan paya bakau, kesemuanya dipelihara dalam habitat semula jadi mereka, sejauh mungkin, semasa pembangunan," katanya.

Cheah juga berkata Sunway turut merancang untuk membuka resort lima bintang Banjaran Mangrove di kawasan, yang akan terletak di tengah-tengah hutan bakau di sepanjang Sungai Pendas.

Beliau juga berkata Sunway akan membina litar motor pelbagai guna seluas 40 hektar dan terdiri daripada trek perlumbaan bertaraf dunia sepanjang 4.5 km yang akan menjadikan Sunway City Iskandar Puteri sebagai hab pelancongan permotoran di rantau ini.

Selain itu, kumpulan itu akan mempunyai taman ekuestrian yang menempatkan 600 ekor kuda, lengkap dengan kemudahan sokongan seperti spa kuda dan klinik.

“Dengan bandar raya yang hanya berjarak lima minit pemanduan dari Laluan Kedua Malaysia-Singapura, terdapat potensi besar untuk kesan limpahan ekonomi yang signifikan bagi Johor dan Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA   


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan