AM

Malaysia Akan Bekerjasama Rapat Dengan China Galakkan Pertukaran Sesama Rakyat - Johari

26/09/2023 01:02 AM

Daripada Mohd Fharkhan Abdul Ghapar

BEIJING, 25 Sept (Bernama) -- Malaysia sedia untuk bekerjasama rapat dengan China untuk menggalakkan pertukaran sesama rakyat sempena sambutan ulang tahun ke-50 jalinan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara tahun hadapan, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul. 

Beliau berkata Malaysia amat menghargai hubungannya dengan China dan kedua-dua negara telah membina hubungan yang penting dan kukuh yang menghampiri lima dekad. 

“Kami mahu melihat hubungan antara Malaysia dan China bertambah kukuh lagi kerana kedua-dua negara menyambut ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif tahun ini,” katanya.

Johari berkata demikian semasa satu pertemuan dua hala dengan Pengerusi Sidang Perundingan Politik Rakyat Republik Rakyat China (CPPCC) Wang Huning, di Dewan Besar Rakyat di sini hari ini. 

Selain daripada Wang, Johari juga mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya  Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC), Republik Rakyat China Zhao Leji.

Pertemuan beliau dengan kedua-dua pemimpin merupakan agenda utama lawatan rasminya ke republik ini, bermula dari 23 Sept atas undangan Zhao berikutan pertemuan dua hala mereka di Parlimen Malaysia pada 18 Mei lepas.

Johari berkata lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China pada 17 Sept lepas telah mencetuskan daya pendorong baharu untuk lebih banyak lawatan peringkat tinggi antara kedua-dua negara.

Yang Dipertua Dewan Rakyat itu berkata pertukaran antara Parlimen Malaysia dan Kongres Rakyat Kebangsaan merupakan unsur penting bagi menggalakkan lebih persefahaman antara kedua-dua badan perundangan.

“Kami gembira dengan hasil lawatan rasmi Zhao ke Malaysia pada Mei 2023 dan pertemuan kami telah menyediakan daya pendorong baharu untuk meningkatkan pertukaran antara Ahli-Ahli Parlimen kedua-dua negara.

Dengan kedua-dua parlimen di Malaysia dan China telah mewujudkan Kumpulan Persahabatan masing-masing untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala kami di peringkat Ahli-Ahli Parlimen, menjadi hasrat murni kami lebih banyak lagi pertukaran antara Ahli-Ahli Parlimen akan dimudah cara,” kata Johari. 

Pertemuan itu turut dihadiri Timbalan Speaker Alice Lau Kiong Yeng; Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia M. Kulasegaran,  Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi   Datuk Awang Hashim dan Ahli Kumpulan Parlimen Rentas Parti Malaysia - Matlamat Pembangunan Mampan (APPGM-SDG) Chiew Choon Man.

Selepas pertemuan itu, Johari yang ditemani isteri Puan Sri Noraini Mohd dan delegasi menghadiri bankuet selamat datang yang dihoskan Zhao di dewan besar itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan