AM

Eaic Anjur Konvoi Motosikal, Budayakan Integriti Dan Akauntabiliti Penguat Kuasa

23/09/2023 04:02 PM

KUALA PILAH, 23 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) hari ini menganjurkan Konvoi Motosikal E.R.A.T (Encouraging, Responsibility, Accountability, Trustworthiness) bagi mendekati masyarakat dalam membudayakan nilai integriti dan akauntabiliti penguat kuasa.

Pengarah Operasi EAIC Mohd Asnawi Abu Hanipah berkata program itu juga bertujuan mengeratkan jalinan kerjasama suruhanjaya berkenaan, agensi penguatkuasaan seliaan dan orang awam.

Beliau berkata konvoi julung kali itu disertai lebih 90 penunggang motosikal daripada pelbagai agensi antaranya EAIC, Kementerian Kesihatan, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Alam Sekitar.

"Saya yakin, dengan penglibatan anak-anak muda dalam kalangan peminat motosikal ini dapat memberikan pendedahan berkenaan kewujudan dan fungsi EAIC serta sedikit sebanyak juga memberikan impak kesedaran integriti kepada mereka.

"(Selain itu), untuk menggalakkan nilai-nilai tanggungjawab, akauntabiliti dan kepercayaan dalam kalangan semua pihak (termasuk orang awam) selaras dengan usaha membanteras salah laku anggota penguat kuasa dan membudayakan integriti dalam perkhidmatan awam," katanya kepada Bernama selepas selesai konvoi berkenaan di sini hari ini.

Konvoi bermula dari Menara Usahawan, Putrajaya pada 9 pagi dan berakhir di Muzium Istana Lama Seri Menanti, di sini kira-kira dua jam kemudian, melibatkan jarak hampir 90 kilometer perjalanan.

Mohd Asnawi berkata program tersebut merupakan siri temu mesra EAIC bersama masyarakat yang bermula sejak 2022 dengan Kelantan dan Perak merupakan destinasi pertama acara konvoi motosikal.

Beliau berkata EAIC memberikan pengisian kepada masyarakat melalui sesi taklimat penerangan dan pendidikan mengenai EAIC, dialog perkongsian isu salah laku yang berlaku di kawasan setempat dan soal jawab dan kaedah orang awam boleh membantu suruhanjaya dalam menyalurkan aduan.

"Aduan adalah satu hadiah buat EAIC kerana kita memberikan perkhidmatan melalui aduan. Jika tiada aduan, kemungkinan kita tidak dapat menjalankan fungsi suruhanjaya secara berkesan. Pendekatan ini dilakukan bagi mendedahkan orang ramai tentang peranan EAIC atau apa hak yang mereka ada apabila berdepan dengan (salah laku) pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata program itu juga memberikan peringatan dan kesedaran kepada semua lapisan masyarakat agar menjauhi salah laku dan mengajak bersama-sama membendung ketirisan integriti perkhidmatan awam dengan melaporkan kepada EAIC.

Dalam pada itu, Mohd Asnawi berkata tahun ini EAIC memfokuskan usaha meningkatkan integriti dalam kalangan penjawat awam terutama agensi penguatkuasaan berkaitan isu persempadanan antaranya melibatkan Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Pasukan Gerakan Am.

"Kita mengumpulkan segala maklumat bagi mengenal pasti apa jua masalah setiap agensi penguatkuasaan dalam menguatkuasakan undang-undang membabitkan sempadan serta memberikan perkhidmatan dalam membantu mengatasi isu berkaitan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan