EKONOMI

Moody’s Kekalkan Penarafan Baa1 Petronas Lng Dengan Prospek Stabil

22/09/2023 11:47 PM

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Moody's Investors Service mengekalkan penarafan penerbitan mata wang asing dan tempatan Petronas LNG Ltd (PLL) pada ‘Baa1’ dan prospeknya yang stabil.

Katanya pengekalan penarafan itu mencerminkan pemilikan penuh PLL oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas, A2 stabil) serta integrasi operasi dan kewangannya yang kukuh dengan syarikat induknya.

“Hubungan erat menyokong penarafan Baa1 PLL pada dua kedudukan di bawah penarafan A2 syarikat induk utamanya,” kata Penolong Naib Presiden dan Penganalisisnya, Hui Ting Sim dalam kenyataan hari ini.

PLL dimiliki sepenuhnya oleh Petronas, syarikat minyak nasional Malaysia, yang juga milik penuh kerajaan Malaysia (A3 stabil).

Beliau berkata Petronas mempunyai rekod prestasi yang kukuh dalam menyediakan sokongan kewangan kepada PLL, seperti yang dapat dilihat daripada suntikan ekuiti sebanyak US$993 juta dalam PLL sejak 2015.

“PLL juga boleh menggunakan kemudahan kredit payung Petronas untuk pengurusan kecairan. Melalui fungsi perbendaharaan bersepadu dengan syarikat induknya, tunai PLL dipegang secara berpusat oleh Petronas dan keperluan aliran tunai dikongsi dengan syarikat minyak nasional itu,” katanya.

Beliau berkata pada 2022, PLL telah menebus sepenuhnya saham keutamaan dan membayar dividen berjumlah US$673 juta selepas melaporkan prestasi kewangan kukuh luar biasa sejak dua tahun lepas.

Justeru, Moody's menjangkakan PLL terus meningkatkan aliran tunai lebihan sebagai dividen kepada syarikat induknya.

Bagaimanapun, agensi penarafan itu juga menjangkakan Petronas terus menyediakan sokongan kewangan kepada PLL sekiranya diperlukan, katanya.

Hui berkata sokongan Petronas kepada PLL melangkaui bantuan kewangan apabila syarikat induk itu memberikan sokongan pengurusan dan pemantauan yang banyak manakala PLL turut melaporkan risiko dan tadbir urus setiap bulan kepada jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Petronas.

“Penarafan PLL adalah berdasarkan pendekatan dari aspek menyeluruh kepada lebih spesifik yang mempertimbangkan pemilikan sepenuhnya oleh Petronas, penyepaduan operasi dan kewangan yang kukuh dengan Petronas, serta kesediaan dan kemampuan syarikat induk untuk memberikan sokongan kepada PLL semasa tempoh sukar,” katanya.

Mengenai faktor yang boleh membawa kepada perubahan penarafan, Hui berkata Moody's akan mempertimbangkan naik taraf sekiranya penarafan Petronas dinaik taraf.

“Sementara itu, Moody's mungkin menurunkan penarafan PLL jika penarafan Petronas diturunkan dan terdapat penyusutan pemilikan Petronas ke atas PLL atau terdapat pengurangan pemantauan oleh syarikat induk serta sokongan operasi dan kewangan kepada PLL,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan