Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Kejayaan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk terus mengendalikan Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISG) di Turkiye menjadi bukti kepada keupayaan sebuah syarikat Malaysia yang diurus dengan baik untuk melabur di luar negara dan menyumbang kepada pembangunan di negara lain.
Profesor Ekonomi Universiti Sunway Prof Yeah Kim Leng berkata langkah itu turut menjana faedah ekonomi yang saling memberi manfaat dan mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara.
“Pencapaian MAHB dalam mendapatkan lanjutan operasi lapangan terbangnya di Turkiye merupakan berita positif untuk sektor korporat Malaysia selain mengesahkan hubungan rapat antara pemimpin kedua-dua negara.
“Selain meningkatkan reputasi syarikat Malaysia dalam kalangan komuniti perniagaan antarabangsa, kejayaan MAHB dan syarikat Malaysia lain boleh meningkatkan pendapatan negara kasar Malaysia melalui pulangan keuntungan dan dividen,” katanya kepada Bernama.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan persetujuan itu selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan di New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-78.
Anwar berkata Turkiye berpuas hati dengan kejayaan MAHB pada peringkat pertama dan berhasrat untuk melanjutkan operasi termasuk membina landasan yang lebih panjang.
Menurut Yeah, sokongan daripada kedua-dua kerajaan serta kepuasan dan keyakinan Presiden Turkiye terhadap prestasi MAHB akan amat memudahkan keupayaan syarikat itu untuk menyempurnakan lanjutan landasan lapangan terbang tersebut, dari segi pembiayaan dan operasi pembinaan.
“Dengan peningkatan kapasiti dan landasan yang lebih panjang yang akan turut meningkatkan keselamatan, lapangan terbang itu akan dapat menampung lebih banyak penerbangan dan penumpang sekali gus membawa kepada pendapatan dan keuntungan yang lebih tinggi untuk MAHB,” katanya.
Dimiliki sepenuhnya oleh MAHB, lapangan terbang itu merupakan pintu masuk keenam paling sibuk di Eropah, dengan jumlah penumpang mencecah 25 juta pada 2021, iaitu 70 peratus daripada paras sebelum pandemik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial