EKONOMI

PERNAS, BUBBLES O2 PACU INDUSTRI FRANCAIS SEMPENA LTDL 2023

20/09/2023 10:08 AM

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), menjalin kerjasama dengan Bubbles O2 Sdn Bhd (Bubbles 02) bagi memacu perkembangan industri francais sempena perlumbaan Le Tour de Langkawi 2023 (LTdL 2023) pada 23 hingga 30 Sept ini.

Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Pernas Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek berkata Bubbles 02 itu yang merupakan antara penaja LTDL 2023 telah mempelawa Pernas bekerjasama mewujudkan semangat keusahawanan dan membuka peluang perniagaan francais dalam kalangan peserta serta pengunjung acara sukan berprestij itu.

Beliau berkata Bubbles 02 Cavalcade akan membantu mempromosikan sistem francais dengan  membimbing dan menyediakan sokongan pembiayaan, latihan, pembangunan keusahawanan dan pelaburan ekuiti kepada orang awam agar boleh meneroka sekali gus menceburi bidang perniagaan francais.

“Selain itu, tiga jenama lain iaitu 1901, Gloria Jean’s Coffees dan FTW Racing juga akan mengambil bahagian mempromosikan jenama mereka kepada peminat sukan berbasikal dari seluruh dunia.

“Kami juga memperkenalkan inisiatif #CariPernas @ Reruai Bubbles O2, yang direka untuk interaksi secara aktif dengan kira-kira lebih sejuta penonton sepanjang lapan laluan LTdL 2023,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran kerjasama pemasaran dan penjenamaan Pernas & Bubbles O2 semasa LTdL 2023, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Bubbles O2 Ain Azizah Arifin berkata pelaburan untuk LTdL 2023 itu meliputi wang tunai sebanyak RM800,000 dan produk barangan Bubbles O2 bernilai RM200,000.  

“Tajaan LTdL 2023 ini adalah satu usaha kami untuk meningkatkan tahap keyakinan dan membawa jenama ini keluar ke pasaran antarabangsa,” katanya.

LTdL 2023 bakal menampilkan 132 pelumba daripada 22 pasukan berstatus WorldTeam, ProTeam dan Continental selain pasukan kebangsaan. 

Edisi kali ini menyaksikan laluan melibatkan 11 negeri dengan Peringkat 1 dari Kerteh ke Kuala Terengganu (184.4km); Peringkat 2 Kuala Terengganu-Kota Bharu (186.2km); Peringkat 3 Jeli-Baling (177.1km); Peringkat 4 Bukit Mertajam-Meru Raya (140km); Peringkat 5 Slim River-Genting Highlands (133.3km); Peringkat 6 Karak-Melaka (176.6km); Peringkat 7 Muar-Seremban 2 (125.7km) dan Peringkat 8 Setia Alam-Kuala Lumpur (157km).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan