FOKUS BERNAMA

KELEMAHAN KEMPEN, PEMANTAUAN, PUNCA PENGGUNA MASIH DAMBA BEG PLASTIK

19/09/2023 11:56 AM
Daripada Nurqalby Mohd Reda

Sanggup berbohong menyatakan dompet tertinggal di dalam kereta lalu meninggalkan kesemua barangan yang ingin dibeli di kaunter pembayaran semata-mata kerana premis tersebut tidak menyediakan beg plastik untuk pelanggan.

Malah sebagai “pengajaran” atas sikap “kedekut” pasar raya itu, lelaki berkenaan yang berkongsi pengakuannya di laman sosial Facebook, turut menghasut rakan-rakannya agar melakukan perbuatan sama.

Dia hanya tahu tentang langkah pasar raya itu tidak lagi menyediakan beg plastik buat pelanggan tiga hari selepas insiden tersebut berlaku melalui kain rentang yang digantung di depan premis berkenaan.

Seorang lagi pengguna media sosial meluahkan rasa sakit hati serta mempersoalkan ketiadaan beg plastik untuk pelanggan selepas melihat seorang warga emas terkial-kial menggendong barangan yang dibeli ke motosikal.

“Nak beli beg plastik pun tidak ada. Mata sakit apabila tengok seorang pak cik beli lebih 10 barang tetapi tiada beg plastik dan naik pula motor yang raganya (sudahpun) penuh dengan barang… Jadi, mana nak letak lagi barang yang dibeli?’’ catat wanita itu.

Petikan daripada perkongsian di media sosial itu  menunjukkan masih ada dalam kalangan ahli masyarakat yang tidak cakna akan dasar kerajaan, iaitu penghapusan penggunaan beg plastik di semua premis perniagaan yang disasarkan dicapai sepenuhnya pada 2025.

Berbaki dua tahun sebelum matlamat itu direalisasi, nyata tahap kesedaran ahli masyarakat masih rendah, sekali gus menimbulkan pertanyaan di mana silapnya kempen yang dilaksanakan.   

 

KEMPEN GAGAL?

Data Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) merekodkan daripada 772,349 tan metrik sampah yang dihasilkan oleh penduduk Kuala Lumpur dan Putrajaya pada 2021, sebanyak 101,949 tan metrik atau 13 peratus merupakan sisa plastik. 

Malah, Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA) juga menganggarkan kira-kira sembilan bilion beg plastik digunakan oleh penduduk negara ini saban tahun.

Mengupas isu itu, pensyarah di Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris Prof Madya Dr Mohd Hairy Ibrahim berkata situasi yang berlaku pada ketika ini jelas menunjukkan ‘Kempen Tanpa Beg Plastik’  yang dilaksanakan masih belum memadai.

Menurut beliau, ini kerana kempen tidak dibuat secara menyeluruh selain tiada kerjasama dalam kalangan premis perniagaan berhubung penggunaan beg plastik di premis masing-masing.

“Tiada sinergi dalam kalangan pemilik premis apabila masih ada yang menyediakan beg plastik biarpun dicaj 20 sen, manakala ada juga yang telah memulakan langkah tidak lagi menyediakan sebarang beg plastik.

“Situasi ini menyebabkan pelanggan tidak membudayakan amalan menyediakan beg sendiri atau membawa  beg plastik dari rumah ketika keluar berbelanja, kerana menganggap semua kedai  menyediakan beg plastik,” katanya kepada Bernama.

pic-2

Bagi pakar dalam bidang geografi dan alam sekitar itu, paling mengecewakan beliau ialah apabila ada premis perniagaan, terutamanya kedai runcit persendirian, membekalkan beg plastik tanpa sebarang caj kepada pelanggan bagi menjaga kelangsungan perniagaan masing-masing.

Malah, tinjauan penulis di beberapa pasar raya utama sekitar Seremban, Negeri Sembilan, mendapati budaya membawa beg kitar semula masih lagi rendah dalam kalangan pengguna, kerana daripada kira-kira 100 pelanggan yang dilihat memasuki premis terbabit, tidak sampai 10 orang yang membawa beg sendiri.

Keadaan ini mungkin disebabkan oleh pasar raya terlibat masih lagi menyediakan beg plastik secara percuma kepada pelanggan, dan Mohd Hairy melihat hal itu berpunca daripada kegagalan sebilangan kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan melaksanakan pemantauan secara proaktif.

“Ini jelas menunjukkan budaya membawa beg plastik terlalu rendah… Jadi, kena giatkan lagi usaha,  perluas kempen bebas plastik di pelbagai platform termasuk media sosial, selain tingkatkan kerjasama bersepadu antara agensi berkenaan.

“Sekiranya tiada sebarang usaha mempergiatkan lagi kempen ini dari sekarang, saya tidak yakin masyarakat boleh melakukan urusan jual beli bebas plastik menjelang 2025,” katanya.   

 

GANTI BEG PLASTIK

Sebelum ini, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad dipetik berkata pelaksanaan kempen Tanpa Beg Plastik dibuat secara berperingkat di semua premis tetap perniagaan dalam tempoh 2022 hingga 2025.

Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Negeri Sembilan merupakan antara negeri yang telah menganjurkan kempen jangka panjang tersebut dalam usaha menangani isu pencemaran sisa plastik sekali guna di negara ini.

Bagi memenuhi matlamat kerajaan, Mohd Hairy menyarankan pengilang beg plastik yang membekalkan produk tersebut ke premis perniagaan, membuat persediaan untuk beralih kepada beg yang diperbuat daripada bahan mudah terurai.

Selain itu, syarikat korporat juga boleh melaksanakan tanggungjawab sosial korporat dengan mengedarkan beg guna semula yang diperbuat daripada kain atau bahan boleh dikitar semula secara percuma kepada masyarakat, sekali gus dapat mendidik mereka untuk tidak lagi menggunakan beg plastik. 

“Kerajaan seharusnya bertindak dengan memberi arahan awal kepada pengilang yang membekalkan beg plastik jenis ini agar menukar kepada pembungkusan yang bersesuaian dengan keperluan pengguna, sama ada barangan basah atau kering. 

“Harus diwujudkan pelbagai alternatif bagi menggantikan beg plastik. Kerajaan perlu ada perbincangan menyeluruh dengan pihak industri, bermula dari peringkat kilang yang membekalkan plastik, peniaga dan seterusnya pelanggan,” kata beliau.

Setakat ini, antara premis perniagaan yang telah melaksanakan Kempen Tanpa Beg Plastik ialah pasar mini 99 Speed Mart yang tidak lagi membekalkan beg plastik kepada pelanggan di semua cawangannya, bermula 1 Mei lalu.

pic-3

Speed Mart dalam kenyataannya kepada Bernama, berkata premis perniagaannya menggantikan beg plastik  dengan beg guna semula Madani untuk kemudahan pelanggan, seiring dengan kempen ‘Tanpa Beg Plastik’ yang dilancarkan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim pada 9 Mei lepas.

Syarikat itu turut mengongsikan pemakluman tersebut menerusi media sosial selain poster di semua premisnya.

 

PREMIS PERLU BERTOLERANSI

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Nur Asyikin Aminuddin berkata ketiadaan beg plastik di premis perniaagaan tidak seharusnya dijadikan isu kerana sudah tiba masa pengguna mengubah mentaliti untuk tidak lagi menggunakan beg plastik dalam kehidupan seharian.

“Langkah tidak lagi menggunakan beg plastik perlu bermula dari sekarang sekiranya kita mahu mewujudkan alam sekitar lebih lestari. Namun, tidak boleh biarkan pelanggan membawa barang-barang yang dibeli tanpa ada beg plastik… kena ada alternatif,  dan pada masa sama ingatkan juga pelanggan agar lain kali bawa beg sendiri,” katanya.

Pandangan senada turut disuarakan oleh Pengerusi Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (Lekas) Zikrullah Ismail yang mahu kempen tersebut dibuat secara rasional dan praktikal supaya tidak menyusahkan masyarakat.

Beliau berkata pendekatan kelestarian alam perlu dibuat dengan mengimbangi konsep 3P iaitu people(pengguna), planet (bumi) dan profit (keuntungan).

Jika ada antara aspek terbabit gagal dipenuhi, maka dasar tanpa plastik juga akan menemui kegagalan, ujarnya. 

“Penolakan pengguna adalah disebabkan inisiatif ini dilaksanakan secara tidak praktikal. Penyediaan beg mudah terurai di premis perniagaan dilihat jalan keluar masalah ini, selain caj minimum dan berpatutan juga boleh dikenakan ke atas pelanggan,” katanya yang berpendapat pemansuhan beg plastik di premis perniagaan harus dilakukan secara beransur-ansur dengan setiap pelanggan diberi peringatan agar sentiasa membawa beg sendiri.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan