DUNIA

Burkina Faso, Mali, Niger Meterai Perjanjian Kerjasama Keselamatan

17/09/2023 09:54 AM

KIGALI (Rwanda), 17 Sept (Bernama-Anadolu) -- Pemimpin tentera Burkina Faso, Mali dan Niger pada Sabtu mengumumkan pakatan pertahanan yang bertujuan untuk menentang pemberontakan bersenjata, lapor Agensi Anadolu (AA).

Presiden Burkina Faso dalam satu kenyataan berkata pihak-pihak itu komited untuk memerangi apa jua bentuk keganasan dan jenayah berkumpulan terancang di sempadan.

Dikenali dengan Perikatan Negara Sahel, ketiga-tiga pihak bersetuju untuk membantu antara satu sama lain, termasuk dari segi ketenteraan, andai berlaku serangan ke atas mana-mana pihak.

“Menggunakan pendekatan ketenteraan untuk menangani situasi gangguan keamanan dan kestabilan juga akan dilakukan apabila perlu.

"Objektif perikatan ini adalah untuk mewujudkan benteng pertahanan secara kolektif dan bantuan bersama untuk faedah penduduk tiga negara," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Turut dikenali sebagai piagam Liptako-Gourma, perjanjian itu menunjukkan bahawa "sebarang serangan ke atas kedaulatan dan integriti wilayah satu atau lebih pihak akan dianggap sebagai pencerobohan terhadap pihak lain."

Sebelum ini, ketiga-tiga negara itu bersama-sama dengan Chad dan Mauritania sepakat untuk menyatukan pasukan dalam "Gabungan untuk Sahel" untuk memerangi pemberontak pelampau di wilayah Sahel.

Zon sempadan antara Mali, Burkina Faso dan Niger menunjukkan ancaman pelampau paling serius di Afrika.

Wilayah Sahel di sub-Sahara Afrika kini menjadi pusat keganasan, menyumbang lebih banyak korban akibat keganasan pada tahun 2022, menurut Indeks Keganasan Global (GTI) 2023.

Burkina Faso menduduki tempat pertama di benua itu dan kedua paling terjejas di seluruh dunia disebabkan keganasan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan