AM

Jadikan Suruhanjaya Kanak-kanak Sebagai Hadiah Sempena Hari Malaysia - Occ Suhakam

16/09/2023 03:48 PM

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia SUHAKAM merayu supaya Suruhanjaya Kanak-Kanak dijadikan sebagai hadiah kepada semua kanak-kanak di Malaysia sempena meraikan sambutan Hari Malaysia.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak Dr Farah Nini Dusuki berkata Suruhanjaya Kanak-kanak yang berperanan dan menjalankan fungsi serta mandat yang termaktub dalam akta tertentu, akan menjadi badan yang bertanggungjawab untuk membela dan mempertingkatkan hak kanak-kanak.

“...khususnya kanak-kanak komuniti terdedah termasuk Orang Kurang Upaya dan masyarakat luar bandar di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan.

Farah Nini berkata penubuhan Suruhanjaya Kanak-kanak bebas dengan aktanya adalah penting dalam melindungi dan mempromosikan hak semua kanak-kanak di Malaysia secara holistik dan sistematik.

Sehingga kini, lebih 50 negara di seluruh dunia telah menubuhkan badan pengawasan masing-masing untuk kanak-kanak, tambahnya.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan 12 pertubuhan masyarakat sivil bagi membela hak kanak-kanak menyokong sepenuhnya inisiatif untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Kanak-kanak yang efektif dan bebas untuk Malaysia, bagi memastikan kanak-kanak di Malaysia memperoleh kehidupan terbaik.

“Perlu ada peruntukan khusus untuk suruhanjaya tersebut supaya ia boleh mengemukakan laporan tahunan kepada Parlimen. Keputusan-keputusan dan cadangan-cadangan suruhanjaya tersebut patut diambil tindakan oleh setiap kementerian yang berkaitan,” demikian menurut kenyataan itu.

Menerusi kenyataan itu kesemua pertubuhan mencadangkan supaya Suruhanjaya Kanak-kanak tersebut dianggotai oleh sembilan ahli yang dilantik, dengan pengalaman sesuai, ilmu pengetahuan berkaitan hak-hak kanak-kanak di Malaysia.

Mereka patut mewakili kepelbagaian Malaysia dan termasuk orang-orang asal di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan