Oleh Kamarul Halim M Kamal
MUAR, 15 Sept (Bernama) -- Dua pelajar sekolah menengah di sini membuktikan bahawa mempelajari tarian tradisional bangsa lain memberi kelebihan kepada mereka untuk mengenali kepelbagaian budaya di negara ini sekali gus memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat.
M. Dhashrina, 13, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abu Bakar, yang meminati seni tarian sejak di sekolah rendah lagi, kini dilihat cukup mahir dengan tingkah dan gerak tari inang selepas mempelajarinya daripada beberapa guru Melayu.
Katanya dia mula tertarik dengan tarian tradisional Melayu itu selepas menyaksikannya di televisyen ketika berumur lapan tahun.
"Saya tertarik dengan kelembutan pergerakan penarinya, ditambah pula dengan kecantikan busana yang dipakai. Pertama kali saya membuat persembahan tarian inang ketika berusia sembilan tahun.
“Selain inang, saya juga meminati koir, orkestra Cina, zapin, dan beberapa lagi tarian tradisional lain. Saya turut menyertai Persatuan Kesenian dan Kebudayaan (PERSENI) Muar untuk mendalami tarian ini,” katanya ditemui Bernama ketika latihan bagi Konsert Malam Budaya Malaysia di Oasis Bay Resort, di sini hari ini.
Menurut Dhashrina yang turut menyertai Kumpulan Zapin Kencana Sari, dia akan mempersembahkan inang dan zapin pada konsert tersebut esok di hadapan kira-kira 600 penonton di auditorium Sekolah Tinggi Chung Hwa.
Seorang lagi pelajar, Liew Jia Xin, 16, dari di SMK Sri Muar pula akan mempersembahkan tarian India iaitu Karagattam yang dipelajarinya sejak awal tahun ini.
Selain tarian tradisional India, Liew juga mampu menari zapin dan joget selepas mempelajarinya sejak di sekolah rendah.
“Tidak salah mempelajari tarian bangsa lain kerana di samping dapat memupuk perpaduan, ia juga mendedahkan kita dengan budaya warisan Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Persatuan Nyanyian Viva Corus Muar Poh Liang Yah berkata konsert yang bakal diisi dengan persembahan kebudayaan pelbagai kaum itu dianjurkan pihaknya setelah melihat kurangnya aktiviti oleh golongan muda yang melibatkan semua kaum di negara ini.
Beliau berkata aktiviti seumpama itu bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum khususnya di daerah Muar, malah memupuk minat pelajar terhadap kebudayaan dan kesenian warisan.
“Konsert ini akan melibatkan 117 pelajar pelbagai kaum dari 10 sekolah di daerah Muar dan Tangkak. Selain itu, terdapat persembahan khas oleh pelajar Sekolah Seni Malaysia Johor dan Lembaga Sanggar Hang Tuah Deli Serdang dari Indonesia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial