EKONOMI

Chemone Umum Penambahbaikan Dipacu Kejuruteraan Di Kompleks Pengerang

15/09/2023 02:38 PM

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- ChemOne Group telah menjadikan penambahbaikan yang dipacu oleh kejuruteraan, termasuk peningkatan hampir 10 peratus dalam peratusan penukaran bahan mentah kondensat kepada produk aromatik bernilai lebih tinggi di Kompleks Tenaga Pengerang (PEC), Johor.

Syarikat konglomerat petrokimia, tenaga hijau dan sumber asli yang berpangkalan di Singapura itu merupakan pemaju utama PEC di Malaysia, kata kenyataan bersama oleh ChemOne dan Pengerang Energy Complex Sdn Bhd, hari ini.

Menurut ChemOne, usaha penambahbaikan tersebut akan meningkatkan lagi ekonomi pengeluaran dan mengurangkan jejak karbon, sekali gus menekankan hasrat PEC untuk mengetengahkan penanda aras baharu bagi industri.

Selain itu, penyedia teknologi Honeywell UOP juga telah menamatkan fasa pertama kerja-kerja berkaitan reka bentuk bagi PEC yang bernilai US$5 bilion.

Kerja-kerja awal Honeywell UOP bagi projek PEC itu telah mengetengahkan penghasilan baki bahan mentah baharu dan mengupayakan PEC untuk menggunakan kuantiti bahan sama bagi pengeluaran produk lebih tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengerang Energy Complex Sdn Bhd Alwyn Bowden berkata peningkatan aliran tunai daripada bahan baharu itu akan turut menyerap faktor makroekonomi yang memberi impak kepada kepada dunia serta penghasilan lebihan aliran tunai.

Sehubungan itu, beliau berkata kesemua nisbah pelaburan dan kredit kritikal bagi projek itu akan kekal kukuh.

"Perkembangan itu telah dibentangkan kepada agensi kredit eksport global terkemuka yang menyokong projek tersebut. Adalah dijangkakan bahawa mereka akan mendapatkan kelulusan akhir Lembaga Pengarah masing-masing pada suku keempat 2023," kata Bowden.

Dalam pada itu, ChemOne berkata penambahbaikan kecekapan tersebut akan turut mengurangkan jejak karbon projek PEC secara menyeluruh, menyokong visi strategik kumpulan dalam merancang, pengoperasian atau pelaburan dalam pembangunan berkarbon rendah.

PEC dijangka menandatangani perjanjian utama dengan rakan-rakan industri yang menyertai projek itu termasuk usaha sama dengan rakan kongsi kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan yang kini di peringkat akhir.

Dalam tempoh pembinaannya selama 45 bulan, PEC dijangka menggaji lebih 7,000 pekerja selain mengekalkan lebih 200 pekerja untuk operasi dan penyelenggaraan apabila pengeluaran komersialnya dimulakan kelak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan