AM

PERNAS, KOSGEB JALIN KOLABORASI STRATEGIK, PACU PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN FRANCAIS NEGARA

14/09/2023 04:18 PM

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melaksanakan kolaborasi strategik dengan Turkiye sebagai usaha memacu pembangunan keusahawanan francais negara.

Pernas dalam kenyataan berkata kolaborasi bersama Organisasi Perusahaan Kecil dan Sederhana di Turkiye (KOSGEB) itu antaranya adalah bagi membincangkan peluang kerjasama dalam pelbagai bidang.

“Ini termasuklah bidang francais, pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), latihan dan pembangunan keusahawanan serta kerjasama perdagangan antarabangsa antara Malaysia dan Turkiye,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan kolaborasi juga dikukuhkan dengan kunjungan hormat Naib Presiden KOSGEB Dr Fatih Gokyurt ke Pernas menerusi Program Connecting Opportunities: Kuala Lumpur - Ankara yang diadakan di Menara Pernas, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Pernas Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek berkata kolaborasi itu juga bertujuan membina hubungan serta mewujudkan perkongsian baharu antara Pernas dan KOSGEB.

“Antaranya perluasan pasaran, perkongsian teknologi, pembinaan kemahiran dan kapasiti serta mewujudkan jaringan kerjasama di antara usahawan francais di bawah Pernas bersama usahawan-usahawan Turkiye,” katanya.

Beliau berkata Pernas juga mempunyai misi untuk meneraju francais halal Malaysia menembusi pasaran Turkiye selain menghubungkan peluang perdagangan dua hala antara PKS Malaysia dan negara berkenaan.

“Ia selaras dengan aspirasi jenama Pernas - Memperkasa Pertumbuhan, Menghubungkan Peluang,” katanya.

Beliau berkata kolaborasi itu membuka peluang perniagaan kepada jenama francais dan pra-francais tempatan antaranya Gloria Jean’s Coffees, 1901, Abdul Samad Al Qurashi (ASQ), CIC, Genius Aulad, Eartheories, FTW Racing, Ayam Penyet Best dan AZ Motorsport melalui sesi padanan perniagaan (B2B) bersama delegasi usahawan Turkiye.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan