AM

Busana Pengantin Di Johor Beri Peluang Anak Sabah Pakai Pakaian Tradisi

14/09/2023 01:40 PM

Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen

JOHOR BAHRU, 14 Sept (Bernama) -- Sebuah busana pengantin di Pasar Muafakat Sabah, Masai di sini yang mula beroperasi sejak enam tahun lepas, memberi peluang khususnya perantau Sabah mengenakan busana tradisional walaupun jauh dari kampung halaman. 

 Nur Minda Munabirul, 54, yang berasal dari Negeri di Bawah Bayu itu, bukan sahaja menjual busana tradisional pengantin, malah turut menyediakan perkhidmatan sewaan di bawah perusahaannya Bikram Bari Enterprise.

Busana yang meliputi pakaian tradisional bagi pengantin daripada etnik Bajau dan Suluk itu katanya, diambil daripada pembekal di Kota Kinabalu, Sandakan dan juga Semporna di Sabah.

"Sebelum membuka perniagaan ini, saya memang bertekad untuk memudahkan bakal pengantin mencari pakaian memandangkan ramai rakyat Sabah menetap di Johor, jadi mereka tidak perlu bersusah payah pulang ke Sabah untuk mencari pakaian pengantin.

"Pakaian tradisional pengantin bagi kedua-dua etnik ini lebih kurang sama, iaitu baju Batawi bagi pengantin perempuan dan Lapi untuk pengantin lelaki. Lazimnya, orang Sabah kalau hendak cari baju kahwin, mesti akan ke sini, kalau tidak dibeli, mereka akan sewa sahaja," kata ibu enam anak itu ketika ditemui Bernama di sini hari ini

Nur Minda yang telah menetap di Johor sejak lebih 10 tahun lepas berkata baju pengantin tradisional antaranya diperbuat daripada kain baldu itu, dijual kira-kira RM350 untuk sepasang, manakala RM300 untuk disewa bagi dua pasang baju pengantin.

Wanita berasal dari Tampi-Tampi, Semporna itu berkata pelbagai baju tradisional termasuk yang kebiasaannya dipakai etnik Bajau dan Suluk ketika majlis-majlis keraian dan perkahwinan, seperti baju Sambra dan Sablay, turut dijual di kedainya.

Meskipun perniagaan yang diusahakan bersama suami, Bari Dajih, 62, adalah secara kecil-kecilan, beliau tetap berpuas hati kerana dapat membantu bakal pengantin membuat pilihan, selain tidak perlu “terbang” ke Sabah untuk mendapatkan busana raja sehari.

Beliau turut berharap agar perniagaannya itu sedikit sebanyak dapat membantu mengekalkan budaya dan tradisi masyarakat Sabah di negeri ini. 

"Baju tradisional pengantin ini memang wajib dipakai oleh etnik Bajau dan Suluk ketika hari pernikahan, hari kedua pula mereka boleh pakai baju moden seperti gaun dan sebagainya.

"Walaupun kita duduk jauh dari negeri kelahiran, budaya itu harus dikekalkan terutama untuk mendidik anak-anak kita tentang keistimewaan dan keunikan yang kita miliki," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan