Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 12 Sept (Bernama) -- Video lagu bertajuk ‘Helo Kuala Lumpur’ di saluran Lagu Kanak TV di YouTube mencetuskan kontroversi di kalangan netizen Indonesia yang mendakwa lirik dan melodinya serupa dengan lagu yang berasal dari Indonesia, ‘Halo, Halo Bandung’.
Menurut media Indonesia, saluran Lagu Kanak TV yang didakwa berasal dari Malaysia memuat naik video lagu itu pada 2018 dan sekali lagi pada 2020 di saluran sama.
“Lagu ‘Hello Kuala Lumpur’ hampir sama dengan lagu yang berasal dari Indonesia iaitu ‘Halo, Halo Bandung,’ menurut CNBC Indonesia yang membandingkan beberapa lirik dalam dua video lagu itu.
CNN Indonesia pula melaporkan, lagu 'Helo Kuala Lumpur' hanya menukar beberapa perkataan lain daripada lirik asal 'Halo, Halo Bandung' hasil karya seniman maestro Betawi, Ismail Marzuki.
Video lagu di saluran Lagu Kanak TV itu menjadi topik perbualan di platform X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter, sejak Isnin kerana melodinya sama dengan 'Halo, Halo Bandung.'
Ismail, atau lebih dikenali sebagai Bang Maing, dilahirkan di Jakarta pada 11 Mei 1914 dan meninggal dunia pada 25 Mei 1958, serta dianugerahkan gelaran anumerta Pahlawan Nasional Indonesia pada 2004.
Menjawab dakwaan pelanggaran hak cipta dalam lagu yang tersebar di YouTube itu sejak 2018, Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono berkata pihaknya masih mengumpul bukti berhubung plagiarisme itu.
"Kami masih mengumpul maklumat yang lebih lengkap," katanya seperti dipetik Tribunnews.com. -- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial