KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Pertandingan kereta berhias antara jabatan di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menjadi tarikan Sambutan Hari Malaysia yang diadakan di pekarangan Wisma Bernama hari ini.
Ketua Bahagian Hal Ehwal Korporat Bernama Mariati Mohd Arif berkata lima kereta yang bertanding dihias dengan Jalur Gemilang dan bendera negeri-negeri.
Beliau berkata sambutan yang dihadiri 500 warga Bernama itu turut dimeriahkan dengan persembahan tarian dan silat oleh peserta daripada pelbagai jabatan.
“Sambutan diadakan bagi memupuk semangat patriotisme terhadap negara dan mengeratkan hubungan sesama petugas dan pengurusan selain dapat meningkatkan semangat kerja berpasukan menerusi pertandingan antara jabatan,” katanya.
Penolong Pegawai Tadbir, Pentadbiran dan Fasiliti Jabatan Khidmat Pengurusan dan Kewangan Mohd Zaki Mohd Nor berkata beliau dan ahli pasukannya teruja apabila muncul juara pertandingan kereta berhias dan persembahan tarian.
Sementara itu, Pembantu Tadbir Jabatan Pengarang Norliza Hashim berkata beliau dan ahli pasukannya yang mendapat tempat ketiga dalam pertandingan kereta berhias, hanya menggunakan barangan terpakai seperti kain dan kertas selain bendera bagi menghiasi kenderaan agar kelihatan menarik dan ceria.
Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan dengan tema yang sama dengan Hari Kebangsaan 2023 iaitu 'Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan,' akan diadakan di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak, Sabtu ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial