AM

Matrade Lancar Logo Baharu Sambut Ulang Tahun Ke-30

13/09/2023 08:12 AM

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) memperkenalkan logo baharu sempena menyambut ulang tahun ke-30 dengan komitmen baharu bagi membantu perniagaan Malaysia berkembang maju di peringkat global.

Dalam satu kenyataan hari ini, agensi itu berkata logo baharu itu menampilkan gabungan huruf ‘M’ dan ‘A’ yang digayakan bagi mewakili sinergi antara sektor awam dan swasta dalam memacu Malaysia ke arah pertumbuhan ekonomi yang mampan. 

“Bentuk anak panah dalam huruf ‘A’ melambangkan keazaman MATRADE untuk terus cemerlang dalam menjadikan Malaysia sebuah negara perdagangan utama.

“Dari segi warna korporat, ‘mustard’ melambangkan kepelbagaian dan kreativiti MATRADE sebagai sebuah organisasi yang bereputasi baik, teratur dan optimistik, komited untuk membangunkan ekonomi negara melalui perdagangan.  

“Manakala biru melambangkan keharmonian dan kerjasama kukuh antara sektor awam dan swasta dalam memajukan perdagangan antarabangsa bagi Malaysia," katanya.

Terdahulu, pelancaran logo baharu itu disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS 2023) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia, di sini hari ini.

Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memuji MATRADE atas dedikasi dan komitmen selama tiga dekad untuk membolehkan syarikat tempatan bersaing di pasaran antarabangsa.

Sementara itu, Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata perjalanan selama 30 tahun itu lebih daripada sekadar sambutan masa lalu, namun, ia adalah bukti dedikasi dan usaha berterusan dalam mengejar kecemerlangan yang telah membentuk agensi itu seperti yang dicapai hari kini. 

“Kami menantikan fasa seterusnya dalam memastikan kesinambungan MATRADE, dengan masa depan yang dipenuhi dengan cita-cita yang lebih berani dan pencapaian yang lebih besar," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata penjenamaan semula itu mengambil kira dalam menerima pemilikan, memupuk tanggungjawab serta sikap, nilai dan budaya yang betul.

“Transformasi ini bermula dengan komitmen tegas terhadap perubahan dan MATRADE komited untuk menjadi organisasi yang lebih mengutamakan pelanggan yang aktif dan responsif kepada keperluan komuniti perniagaan,” katanya.

MATRADE telah mengalami pertumbuhan yang  pesat sejak 30 tahun yang lalu, paling ketara apabila memenangi anugerah ‘Penggunaan Teknologi Maklumat Terbaik’ (Best Use of Information Technology) daripada Pertubuhan Promosi Perdagangan Dunia (World Trade Promotion Organisation) pada 2022. 

Kehadiran global MATRADE yang luas merangkumi 49 pejabat yang berkedudukan strategik di 41 negara, membuka peluang di 200 pasaran.

-- BERNAMA

an

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan