PUTRAJAYA, 12 Sept (Bernama) -- Permainan rampanau yang popular dalam kalangan masyarakat Dusun di Sabah dan mintubow yang sinonim dengan komuniti Melayu dan Bidayuh di Sarawak adalah antara tarikan Festival Permainan Malaysia (FPM) edisi kelapan yang akan berlangsung di Dataran Merdeka hujung minggu ini.
Dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) bersempena dengan Hari Malaysia 2023, FPM akan diadakan dari 15 hingga 17 Sept dengan penglibatan 1,520 peserta permainan tradisional antaranya congkak, galah panjang, dam aji, kabaddi, termasuk tarian magunatip (tarian buluh) Sabah dan aktiviti menyumpit Sarawak.
Permainan rampanau kebiasaannya menggunakan dahan pohon sagu, kayu keras dan dua batang buluh yang berukuran kira-kira tiga meter hingga 10 meter yang direka khas sebagai kasut tinggi dan untuk bermain, pemain mesti berjalan atau berlari menggunakan alat rampanau berkenaan.
Mintubow merupakan permainan gasing yang lazimnya dimainkan selepas musim menuai padi dan pemenang dikira berdasarkan tempoh masa gasing mampu berputar.
Bercakap kepada Bernama, Pengarah JKKN WPKL Hidayatul ‘Ein Mohamad Azmi berkata buat julung kalinya, FPM akan menampilkan demonstrasi Chingay dari Pulau Pinang dan persembahan silat iaitu Segerak Silat@Kuala Lumpur.
"Sebanyak 70,000 hadirin disasarkan untuk menyertai festival itu," katanya yang menyarankan pengunjung menggunakan pengangkutan awam seperti LRT dan MRT untuk ke Dataran Merdeka.
Beliau berkata festival itu juga akan dimeriahkan dengan program Keretapi Sarong anjuran Locco Malaysia iaitu program flash mob dengan orang ramai bersama-sama meraikan Hari Malaysia menggunakan rangkaian perkhidmatan kereta api awam sambil mengenakan kain sarung.
Turut diadakan ialah acara Larian Wayang Kulit pada 17 Sept yang disekalikan dengan Program Pagi Bebas Kenderaan Kuala Lumpur, selain jualan produk tempatan dan pelbagai makanan warisan.
Hidayatul ‘Ein berkata kemuncak sambutan Hari Malaysia dan FPM adalah pada malam Sabtu (16 Sept) iaitu Festival Gendang dan Tari yang melibatkan pengisian persembahan tarian dan gendang dari negeri-negeri.
FPM merupakan satu daripada program di bawah kalendar pelancongan budaya yang diadakan saban tahun bagi mengetengahkan keunikan seni budaya negeri menerusi permainan tradisional termasuk Sabah dan Sarawak.
Maklumat dan keterangan lanjut mengenai FPM boleh didapati menerusi laman sesawang JKKN iaitu https://www.jkkn.gov.my/ atau layari Facebook JKKN melalui pautan https://www.facebook.com/mysenibudaya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial