POLITIK

Ph Kekal Status Quo, Bukti Kerjasama Ph-bn Diterima

10/09/2023 12:55 AM

Oleh Nor Baizura Basri

JOHOR BAHRU, 9 Sept (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) mengekalkan status quo di kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram selepas calon yang dipertaruhkan oleh parti itu menang di kedua-dua kerusi berkenaan dengan majoriti selesa pada Pilihan Raya Kecil (PRK) itu.

Suhaizan Kaiat dan Nazri Abdul Rahman, kedua-duanya daripada Amanah, menewaskan saingan masing-masing dalam pertandingan tiga penjuru dengan memperolehi 18,641 dan  3,514 majoriti undi.

Di Pulai, Suhaizan, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Johor itu mendapat 48,283 undi, mengalahkan calon Perikatan Nasional (PN) Zulkifli Jaafar yang memperolehi 29,642 undi, manakala calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi hanya mendapat 528 undi.

Sementara di kerusi Simpang Jeram, bekas jurutera di Majlis Perbandaran Muar itu memperolehi 13,844 undi, menewaskan calon PN Dr Mohd Mazri Yahya yang mendapat 10,330 undi dan calon Bebas S. Jeganathan (311 undi).

Kedua-dua calon bebas hilang wang deposit selepas gagal memperoleh satu per lapan atau 12.5 peratus undi daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira.

Penganalisis sosio-politik Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata kemenangan itu membuktikan kerjasama PH-Barisan Nasional (BN) diterima baik oleh rakyat Johor yang selama ini dikenali sebagai kubu kuat UMNO.

Beliau berkata hal itu turut menunjukkan kepercayaan rakyat semakin meningkat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sebalik usaha pembangkang cuba membawa naratif sebaliknya.

“Yang penting apa pun keputusan, pengundi mahu Kerajaan Perpaduan terus kekal dengan jumlah 148 kerusi Parlimen. Itu kemahuan rakyat untuk mengekalkan Kerajaan Perpaduan.

“Ia sekali gus membuktikan naratif yang cuba dibawa pembangkang, bahawa jika PH menang kerusi Parlimen Pulai, akan jejaskan kestabilan - ditolak pengundi,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi malam ini.

Pensyarah Sosiobudaya di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya dan Felo Penyelidik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya UM itu juga berkata kempen pihak pembangkang yang menggunakan beberapa isu termasuk keputusan mahkamah melibatkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak memberi kesan kepada pengundi.

“Pembangkang gagal membawa naratif ini sebab rakyat ternyata menerima dan menghormati proses dan keputusan mahkamah,” katanya. 

Mengikut kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan keluar mengundi bagi Pulai ialah 47.33 peratus, manakala bagi Simpang Jeram 60.85 peratus.

Terdapat seramai 166,653 orang pengundi berdaftar di Parlimen Pulai dan 40,379 di DUN Simpang Jeram pada PRK ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 November lepas, Salahuddin memenangi kerusi Parlimen Pulai buat kali kedua dengan memperolehi majoriti undi 33,174 selepas memperolehi 64,900 undi, menewaskan penyandang tiga penggal Datuk Nur Jazlan Mohamed (BN-UMNO) dan calon PN Loh Kah Yong.

Sebelum itu, pada Pilihan Raya Negeri Johor Mac tahun lepas, Timbalan Presiden Amanah itu turut menang di Simpang Jeram buat kali kedua dengan memperolehi 2,399 undi majoriti dengan mendapat 8,749 undi, mengalahkan Zarul Salleh (PN) dan Datuk Lokman Md Don (BN-UMNO).

Salahuddin, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), juga digelar ‘Bapa Rahmah’ merupakan pencetus idea ‘Payung Rahmah’ yakni satu inisiatif kerajaan dalam membantu rakyat menangani isu kenaikan kos sara hidup.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan