AM

Ahmad Amzad Angkat Sumpah Ahli Parlimen Kuala Terengganu

05/09/2023 03:44 PM

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim hari ini mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, di sini.

Menurut kenyataan media Parlimen Malaysia, majlis angkat sumpah itu berlangsung di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul di Kamar Khas, Parlimen.

Ahmad Amzad, 53, mengangkat sumpah apabila menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu pada 12 Ogos.

Beliau mempertahankan kerusi Parlimen itu selepas mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH) Azan Ismail dengan majoriti 47,266 undi.

PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahmad Amzad yang juga bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, pada Pilihan Raya Umum ke-15 setelah mendapati wujud unsur rasuah ketika kempen.

Johari mengucapkan tahniah kepada Ahmad Azmad atas pelantikan itu dan kemenangannya pada PRK dan berharap beliau dapat melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi.

Sementara itu, Johari semasa majlis itu memaklumkan persidangan Parlimen ke-15 setakat ini boleh dikatakan menempah sejarah membanggakan kerana tahap akauntabiliti badan eksekutif terhadap badan perundangan berada pada tahap tertinggi.

Ia berdasarkan keberkesanan urusan Dewan, Kamar Khas dan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Khas (JKP) Dewan Rakyat, katanya.

Johari berkata bagaimanapun peningkatan tahap akauntabiliti itu perlu seiring dengan kepatuhan Ahli Dewan Rakyat terhadap peraturan persidangan terutama dalam aspek tingkah laku.

“Saya menyeru ahli-ahli Yang Berhormat agar dapat memberi sumbangan yang berfaedah dan bermakna kepada Dewan, seterusnya kepada rakyat dan negara. Diharap Ahli-Ahli Dewan dapat berkhidmat dengan penuh dedikasi dan cemerlang,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan