Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Bubbles O2 Sdn Bhd, pengeluar Bubbles O2 -- satu-satunya produk air mineral semula jadi beroksigen tinggi di Malaysia sasar peroleh hasil sekurang-kurangnya RM10 juta menerusi jualan di pasaran domestik pada 2024, selain terus meneroka pasaran Asean dan Amerika Utara.
Pengarah Urusan Ain Azizah Arifin berkata Bubbles O2 menjangkakan jualan produk di pasaran luar negara - terdiri daripada pasaran sedia ada di Brunei dan Dubai, serta pasaran baharu iaitu Indonesia, Thailand dan Singapura - akan menyumbang sebanyak tiga hingga lima peratus kepada hasil syarikat pada tahun 2024.
"Kita sudah eksport ke Brunei sejak tahun lepas dan Dubai awal tahun ini. Untuk pasaran Amerika Utara, kita sudah ada beberapa rakan kongsi di sana, termasuk Amerika Selatan dan Kanada.
“Syarikat juga telah berjaya mendapatkan pendaftaran Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) untuk eksport Bubbles O2 ke pasaran Amerika Utara. Kita jangka untuk berada di pasaran tersebut pada Januari tahun depan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Justeru, Ain Azizah berkata syarikat menyasar meningkatkan sumbangan daripada segmen eksport tersebut sebanyak 25 peratus dalam tempoh lima tahun.
Bagi pencapaian tahun 2023, Bubbles O2 merekodkan peningkatan jualan tahunan sebanyak 50 peratus menerusi jualan di pasaran domestik.
Mengulas mengenai keyakinan memasarkan produknya ke luar negara, Ain Azizah berkata produk keluaran Malaysia mempunyai peluang besar untuk berkembang ke rantau Asean disebabkan oleh pemilikan sijil halal dan air mineral beroksigen semula jadi bermutu tinggi.
"Air mineral mempunyai kelebihan tersendiri untuk menambah mineral yang diperlukan badan, manakala air yang mempunyai kandungan oksigen terlarut yang tinggi pula akan membantu badan kita lebih bertenaga.
"Disebabkan faktor ini, permintaan untuk air berfungsi semakin meningkat terutamanya selepas pandemik COVID-19 apabila lebih ramai orang mula mengambil berat tentang kesihatan dan pemakanan mereka," katanya.
Pada masa sama, Bubbles O2 turut merancang mengeluarkan produk air mineral berperisa untuk jualan pasaran tempatan tahun depan.
Katanya produk Bubbles O2 bagi pasaran domestik boleh didapati di kedai serbaneka seperti 7Eleven, AEON Big, ERAMAN, KPJ HealthShoppe dan Emart24, hentian Lebuhraya PLUS termasuk beberapa stesen minyak di Petronas Mesra dan Caltex XpressPoint.
Bubbles O2 juga akan menjadi penaja gangsa untuk Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2023) ke-19 pada 12 - 5 Sept ini, yang mana syarikat akan melancarkan Premium Packaging - Glass Bottles untuk pasaran antarabangsa yang selari dengan inisiatif perancangan eleman berasaskan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat.
Selain itu, syarikat aktif dalam mempromosikan gaya hidup aktif dan sihat yang diterjemahkan melalui penajaan Liga Bolasepak Malaysia, Liga Besball Kebangsaan dan Balik Pulau Half Marathon.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial