AM

Dokumentari Terbitan Bernama Tv Mara Ke Separuh Akhir Nyifa 2023

03/09/2023 05:03 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Dokumentari Endless Ties: Uniting Waste and Humanity yang berkisar tentang hubungan erat antara sisa pepejal dan manusia terbitan Bernama TV berjaya mara ke peringkat separuh akhir Anugerah Filem Antarabangsa New York 2023 (NYIFA 2023).

Penerbitnya Hazlinda Hamzah berkata penghasilan dokumentari itu mengambil masa selama dua bulan bermula Mei lepas sebelum ditayangkan pada Julai.

Hazlinda, yang juga penulis skrip dan wartawan dokumentari itu, berkata ini merupakan penyertaan tunggal Malaysia dan bakal bersaing dengan kira-kira 60 dokumentari dari pelbagai negara lain untuk ke peringkat akhir.

“Dokumentari versi Bahasa Melayu bertajuk Sisa dan Manusia, Berpisah Tiada yang berdurasi 30 minit ini memfokus kepada pembuangan serta pengutipan sisa pepejal di Negeri Selangor.

“Karya ini membawa penonton mengeksplorasi impak sisa pepejal kepada kehidupan harian, kesannya terhadap alam sekitar serta usaha manusia dalam mengurus dan meminimumkan sisa pepejal demi kelestarian alam untuk jangka panjang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata dokumentari itu turut menghimpunkan wawancara dengan pihak berkuasa tempatan, kontraktor pengurusan sisa, pakar alam sekitar, aktivis serta orang awam untuk membongkar cerita yang jarang dilaporkan di sebalik kisah manusia dan sisa pepejal yang saling bergantung antara satu sama lain.

“Prestasi ini merupakan pengiktirafan luar biasa terhadap kerja keras dan kreativiti pasukan penerbitan dokumentari Bernama TV dalam menghasilkan karya yang lebih berkualiti untuk tayangan di platform Bernama.

“Dokumentari ini berjaya dihasilkan melalui kerjasama Bernama TV, Majlis Bandaraya Subang Jaya dan KDEB Waste Management selain individu-individu lain,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan