SHAH ALAM, 28 Ogos (Bernama) -- Lapan pasukan bakal bersaing dalam Liga Bola Tampar Jemputan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang dijadual berlangsung di Dewan Bola Tampar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini pada 12-17 Sept ini.
Pengurus Besar Kanan Pentadbiran PKNS Saharom Mohni berkata liga bola tampar yang julung kali diadakan hasil kerjasama Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) dan MBSA itu, menawarkan hadiah wang tunai RM20,500.
Beliau berkata lapan pasukan berkenaan ialah MBSA, Kuala Lumpur Shark, Johor Tiger, Sabah Rhino, Kelantan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Gladiator, Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan PKNS Eagle.
"Perlawanan akan berlangsung mengikut format liga berkumpulan melibatkan lima set terbaik dengan kiraan 25 mata pada setiap set. Pasukan akan dibahagikan kepada dua Kumpulan iaitu A dan B.
"Dua pasukan terbaik peringkat kumpulan akan ke peringkat separuh akhir sebelum ke perlawanan akhir bagi menentukan kejuaraan," katanya pada sidang media sempena kejohanan tersebut di sini hari ini yang turut disertai Setiausaha Eksekutif MAVA Giam Fook Pang.
Menurutnya pada kejohanan itu setiap pasukan dibenarkan mendaftarkan dua pemain negara atau dua pemain import.
Saharom juga berharap menerusi penganjuran liga tersebut dapat mencungkil bakat baharu dalam sukan bola tampar seterusnya menjadi pelapis kepada pasukan negara pada masa hadapan.
"Kami berharap platform yang disediakan ini dapat beri pendedahan kepada pemain bola tampar di peringkat tertinggi, selain PKNS menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada pembangunan sukan di negara ini," katanya
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial