MELAKA, 26 Ogos (Bernama) -- Jabatan Perikanan membelanjakan hampir RM2 juta bagi melaksanakan Program myAgropreneur Perikanan (myAP) dan myKomuniti Perikanan (myKP) di bawah Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia ke-14, tahun ini.
Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata pelaksanaan kedua-dua program itu memberi manfaat kepada kira-kira 700 penerima di seluruh negara melibatkan pelbagai bentuk bantuan mengikut keperluan yang dimohon berasaskan aktiviti perikanan.
"Program myAP merupakan program pembangunan usahawan perikanan yang memberi tumpuan kepada pelaksanaan program keusahawanan di sepanjang rantaian nilai sektor perikanan seperti pengeluaran, pemprosesan, pemasaran dan industri sokongan perikanan termasuk agropelancongan serta perikanan rekreasi.
"Bagi myKP pula, ia merupakan program berkonsepkan komuniti perikanan setempat yang menjalankan aktiviti pengurusan sumber perikanan, perikanan tangkapan, akuakultur, industri asas tani perikanan, industri sokongan perikanan termasuk agropelancongan dan perikanan rekreasi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Karnival Usahawan myAP dan myKP Peringkat Zon Selatan 2023, dirasmikan oleh Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh dan turut dihadiri Pengarah Perikanan Melaka Mohd Fauzi Salehon.
Karnival yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini itu menyediakan platform kepada usahawan perikanan dan usahawan industri sokongan perikanan bagi mempromosikan produk mereka kepada pengunjung, selain mencari ejen, pengedar atau stokis menerusi konsep padanan perniagaan.
Acara itu melibatkan lebih 15 usahawan perikanan dari Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.
Adnan berkata kesemua penerima bantuan di bawah Program myAP dan myKP akan diberi bimbingan di bawah Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan Pengembangan (SPeKS) Jabatan Perikanan bagi memastikan mereka dapat meningkatkan produktiviti dan daya saing sebagai usahawan perikanan.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata Jabatan Perikanan Melaka menerima peruntukan berjumlah RM158,500 bagi Program myAP dan myKP di bawah SPeKS melibatkan enam penerima.
Kataya bagi Program myAP dan myKP di bawah SPeKS Akuakultur pula, sebanyak RM425,060 disalurkan kepada 15 penternak di negeri itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial