DUNIA

Negara Asean Setuju Tingkat Kerjasama Perubahan Iklim

26/08/2023 12:08 AM

VIENTIANE, 25 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Negara anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) telah menandatangani perjanjian mengenai penubuhan Pusat Perubahan Iklim ASEAN untuk meningkatkan pendekatan yang diselaraskan dan bersepadu dalam tindak balas perubahan iklim serantau, lapor Xinhua.

Perjanjian itu, yang ditandatangani pada Khamis di ibu negara Laos, Vientiane, adalah sebahagian daripada komitmen di bawah Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Perjanjian Paris dan Sumbangan Nasional yang Ditentukan.

Pusat itu akan menetapkan rancangan dan strategi nasional mengenai tindak balas perubahan iklim, termasuk mitigasi dan penyesuaian, yang mencerminkan ekuiti dan prinsip tanggungjawab bersama tetapi berbeza serta keupayaan masing-masing, berdasarkan keadaan negara yang berbeza.

Pusat itu juga akan menyediakan penyelarasan serantau mengenai inisiatif perubahan iklim dalam kalangan negara anggota dengan kerajaan negara yang berkaitan serta organisasi serantau dan antarabangsa selain memberikan cadangan dasar untuk menangani perubahan iklim kepada negara anggota.

Matlamat lain termasuk mewujudkan program pembinaan kapasiti untuk meningkatkan kecekapan kerja dalam menangani perubahan iklim.

--BERNAMA-XINHUA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan