SUKAN

Trofi Piala Dunia Kriket Temui Peminat Tempatan

25/08/2023 11:48 PM

PETALING JAYA, 25 Ogos (Bernama) -- Kira-kira 100 peminat tempatan teruja apabila berpeluang menatap dari dekat trofi Piala Dunia Kriket yang julung kali dibawa ke Malaysia sempena Jelajah Trofi Piala Dunia Kriket Lelaki Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) 2023 di sini, malam ini.

Antara yang tidak melepaskan peluang merakam kenangan bersama trofi berprestij itu adalah skuad kriket senior lelaki dan wanita kebangsaan bersama pasukan junior serta beberapa bekas pemain negara.

Turut hadir Penaung Persatuan Kriket Malaysia (MCA) Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar, Presiden MCA Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali dan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Mohd Nazifuddin Najib.

Mohammed Iqbal berkata antara faktor ICC memilih Malaysia sebagai antara 19 destinasi jelajah adalah disebabkan sukan kriket sedang meningkat di negara ini.

“Persinggahan ini amat bermakna buat kami (MCA) kerana visi kami adalah untuk menjadikan kriket sebagai sukan yang popular di Malaysia,” katanya kepada Bernama pada majlis jelajah trofi itu di sebuah hotel di sini.

Terdahulu, trofi itu yang berada di Malaysia selama dua hari bermula hari ini dibawa ke beberapa lokasi tumpuan sekitar Kuala Lumpur antaranya Batu Caves dan Bukit Tunku.

Piala Dunia Kriket Lelaki ICC 2023 akan berlangsung di India bermula Oktober depan dengan England yang turun selaku juara bertahan bakal ditentang hebat pasukan tuan rumah yang memiliki kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan