AM

Lebih 1,000 Pelajar Sekolah Bentuk Formasi Manusia Hasilkan Logo Hari Kebangsaan 2023

25/08/2023 12:39 PM

Oleh Norhayati Mohd Akhir

PUTRAJAYA, 25 Ogos (Bernama) -- Dengan berbekalkan kipas dan sapu tangan, 1,500 pelajar sekolah akan bergabung tenaga membentuk formasi manusia bagi menghasilkan logo Demi Malaysia, Tekad Perpaduan dan Malaysia MADANI pada  sambutan Hari Kebangsaan 2023, 31 Ogos ini di Dataran Putrajaya di sini.

Penolong Pengarah Unit Pembangunan dan Kecemerlangan Seni Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan (KPM) Nor Hapipah Md Shah berkata persembahan formasi manusia yang mengisi komponen pembukaan itu akan diiringi dengan lagu tema Hari Kebangsaan 2023 iaitu Tekad Perpaduan Penuhi Harapan.

Nor Hapipah berkata semua pelajar terlibat merupakan pelajar Tingkatan Dua, Tiga dan Empat yang terpilih bagi mewakili 47 sekolah di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

“Untuk hasilkan persembahan terbaik ini, semua pihak terlibat perlu pastikan setiap pelajar melakukan gerakan secara serentak agar tidak mencacatkan persembahan.

“Persembahan formasi manusia ini jika dilihat dari pandangan atas akan membentuk logo Demi Malaysia, Tekad Perpaduan dan Malaysia MADANI,” katanya kepada Bernama.

Nor Hapipah berkata latihan persembahan formasi manusia itu adalah di bawah bimbingan 25 guru yang bertindak sebagai jurulatih kesenian bagi memastikan pelajar membuat persembahan yang sempurna di hadapan tetamu kehormat serta pengunjung yang dijangka seramai 100,000 orang.

“Kami juga perlu pastikan mereka mendapat waktu rehat yang cukup setelah penat dan letih dengan sesi latihan yang bermula 8 pagi hingga 3 petang,” katanya sesi latihan telah bermula sejak Julai lepas.

Bagi komponen persembahan khas pula, Nor Hapipah berkata seramai 600 pelajar akan bergabung dengan kira-kira 1,000 penari dan pemain gendang dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Katanya, persembahan yang menjanjikan kolaborasi menarik itu akan diiringi dengan lagu Kurik Kundi, yang pernah dipopularkan penyanyi tempatan, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Lagu berkenaan akan dinyanyikan secara berselang-seli oleh beberapa artis iaitu Aina Abdul bagi mewakili masyarakat Melayu di Semenanjung Malaysia, Suki Low (kaum Cina), Jacklyn Victor (kaum India), Bob Yusof (masyarakat Sarawak) serta Elica Paujin (masyarakat Sabah), yang menggambarkan penyatuan rakyat, katanya.

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bangsar, Kuala Lumpur, Luqman Hakim Kamal Hakimi, 16, menyifatkan penyertaan julung kali beliau dalam persembahan formasi manusia adalah suatu pengalaman yang sangat berharga kerana diberi peluang membuat persembahan di hadapan tetamu kehormat termasuk Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Saya teruja dan tidak sabar menanti tarikh 31 Ogos ini, sebab saya tidak pernah terlibat dalam acara negara,” katanya yang  meminati seni tarian sejak berusia lima tahun.

Senada dengan Luqman Hakim, pelajar Sekolah Menengah Perempuan Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor, Sheryl Shaqeera Shamsul Zahari, 15, berkata sokongan daripada ibu bapanya menjadi pembakar semangat untuknya meneruskan latihan walaupun mengalami keletihan.

Pelajar Tingkatan Tiga itu berkata beliau mengambil sikap terbuka dalam menerima setiap teguran daripada tenaga pengajar yang semestinya mahu memastikan semua peserta membuat persembahan terbaik pada hari bersejarah negara.

“Teguran tegas ini mampu betulkan kesilapan kami, sebagai balasan, kami akan janjikan persembahan terbaik, bukan sahaja untuk kepuasan diri sendiri malah untuk banggakan ibu bapa serta pihak sekolah,” kata anak kedua dari tiga beradik itu.

Kemuncak sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang bertemakan ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ akan berlangsung di Putrajaya.

Ini merupakan kali kelima sambutan Hari Kebangsaan diadakan di Putrajaya. Sebelum ini, Putrajaya menjadi lokasi penganjuran sambutan Hari Kebangsaan pada 2003, 2005, 2018 dan 2019.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan