JENAYAH & MAHKAMAH

Sarjan Mejar Polis Berdepan 98 Pertuduhan Terima Rasuah Rm31,400

24/08/2023 02:40 PM

KUANTAN, 24 Ogos (Bernama) -- Seorang anggota polis berpangkat Sarjan Mejar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas 98 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM31,400 pada 2021 dan 2022.

Tertuduh Anuar Yaakob, 54, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan oleh empat jurubahasa dalam masa lebih 40 minit di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa menerima wang bernilai antara RM100 dan RM2,000 tanpa balasan daripada beberapa individu yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya yang dipindahkan secara dalam talian ke akaun miliknya.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di sekitar Kuantan ketika bertugas di Bahagian  Siasatan/Perundangan (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang dengan pangkat Sarjan dan Ketua Balai Polis Cherating sebagai Sarjan Mejar, antara Januari 2021 hingga Oktober 2022.

Penjawat awam yang sudah lebih 30 tahun berkhidmat itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rifah Izzati Abdul Mutalif menawarkan jaminan RM15,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah selain tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah diberikan kepada anak guamnya memandangkan tertuduh berpendapatan sekitar RM3,000 sebulan dan perlu menyara keluarganya termasuk ibu bapa yang sudah berusia.

Ahmad Zamzani menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan semua syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 25 Sept depan untuk serahan dokumen.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan