BERITA TERGEMPAR   Manufacturing sector increased by 1.9 per cent in 1Q 2024 after recording a contraction of 0.3 per cent in the previous quarter -- DOSM | Two policemen killed, one injured in shooting at Ulu Tiram Police Station, Johor Bahru early this morning - Johor Police Chief | Dua anggota polis maut dan seorang cedera ditembak dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru awal pagi tadi - KP Johor | 
 FOKUS BERNAMA

KEBUN JATI SPF MATA AYER PERLIS TAWAR FASILITI EKOPELANCONGAN BAHARU

24/08/2023 08:49 AM


From Erda Khursyiah Basir

Terkenal dengan jolokan ‘Kebun Jati’ oleh penduduk setempat, Stesen Penyelidikan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) atau lebih dikenali sebagai SPF Mata Ayer di sini juga merupakan tarikan ekopelancongan negeri itu. 

Ditubuhkan pada 1974 di Hutan Simpan Mata Ayer, stesen ini pada asalnya diwujudkan bagi program membaik biak benih Pinus caribaea (pokok pain) di hutan berkenaan.

Sebelum itu pada 1953, kawasan hutan simpan berkenaan dijadikan petak percubaan tanaman spesies Tectona grandis (pokok jati) oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.

Jati yang terdapat di kawasan yang juga dikenali sebagai Lembah Sungai Chuchoh, Kompartmen 17 itu adalah yang pertama ditanam dan tertua di Semenanjung, serta telah mencapai umur 70 tahun.

 

JATI PERLIS TERBAIK

Meliputi kawasan seluas 455 hektar, kira-kira 300 hektar Hutan Simpan Mata Ayer ditanam dengan jati dari Thailand, Indonesia, India, Papua New Guinea, Trinidad dan Sabah, manakala 50 hektar lagi di bawah kawasan tadbir urus FRIM.

Keunikan pokok jati yang terdapat di sini ini ialah baka tanaman yang terhasil ialah campuran daripada kesemua lokasi berkenaan. 

pic-2

Menurut Ketua Pengarah FRIM Dr Ismail Parlan, melalui kajian membaik biak pokok jati yang dilaksanakan, sebanyak 71 baka terpilih daripada hasil kacukan, dikenal pasti dan dikumpulkan di SPF ini sebagai koleksi sumber genetik.

“Keunikan ini membolehkan FRIM dikitiraf dalam Malaysia Book of Records sebagai “Largest Collection of Teak Clone” pada 14 Jun 2012.

“Antara kejayaan FRIM melalui hasil kajian yang dijalankan di SPF ini ialah Anugerah Emas dan Anugerah Henry Goh bagi ‘Best Invention in Environmental Innovation’ dalam pertandingan inovasi, The International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX) 2022 dengan tajuk “Jati Perlis: High Quality Clones for Forest Plantation Programme and Its High Value Product”; serta pendaftaran Invention Disclosure (ID) tujuh klon jati yang mempunyai ciri pokok ibu (superior).

“Pada tahun lepas, FRIM turut menerima kunjungan sebuah syarikat dari Brazil yang menunjukkan minat untuk bekerjasama dalam penanaman klon jati dan kini masih dalam usaha menjayakan kerjasama tersebut,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Fasiliti Pelancongan SPF Mata Ayer baru-baru ini.

 

PERKENAL EMPAT TARIKAN BAHARU

SPF Mata Ayer mempunyai pelbagai fasiliti pelancongan dan penyelidikan seperti titian silara, rumah penginapan berkonsep log kabin, tapak perkhemahan dan dewan seminar, serta menerima purata 2,500 orang pelawat setahun dengan anggaran pendapatan tahunan sebanyak RM25,000.

Pada majlis perasmian itu, tiga lagi fasiliti pelancongan baharu iaitu Denai Chenderai, Tapak Campervan Jati, Chalet Kesinai dan juga sebuah Bengkel Larik diperkenalkan dan dirasmikan oleh Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli. 

Memetik ucapan Mohd Shukri, beliau berkata, reputasi FRIM sebagai pusat penyelidikan berkaitan perhutanan yang terkenal di dalam dan luar negara tidak dapat disangkal dan berharap agensi itu, Jabatan Perhutanan Negeri Perlis dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia bekerjasama memainkan peranan memperluas dan menambah baik tempat rekreasi dan riadah berkonsepkan ekopelancongan.

Beliau berkata, dengan cara itu ia dapat meningkatkan kefahaman penduduk tempatan terhadap kepentingan hutan serta alam sekitar di samping memajukan industri pelancongan negeri.

pic-3

Dalam pada itu mengulas mengenai Denai Chenderai, Ismail berkata, namanya diambil sempena taburan spesies cenderai yang banyak di kawasan itu yang boleh tumbuh setinggi 20 meter.

Katanya, pokok cenderai tumbuh sepanjang laluan menuju ke puncak Guar Chenderai yang berketinggian 50 meter dan merupakan bukit tertinggi di kawasan stesen berkenaan.

Mereka yang berminat boleh datang secara walk-in dan perlu mendaftar kemasukan di kaunter tiket titian kanopi.

“Bagi Tapak Campervan Jati pula ia dibuka untuk peminat camper yang ingin menikmati suasana bermalam dalam hutan ladang yang menenangkan. Sebanyak enam unit motorhome/campervan boleh dimuatkan di tapak ini selain di sini juga mempunyai kemudahan bilik air, sinki, sumber elektrik untuk mengecas motorhome/campervan dan lain-lain.

“Mereka yang ingin menikmati suasana lebih selesa bolehlah bermalam di Chalet Kesinai. Dua unit chalet disediakan yang mempunyai satu katil keluarga dan satu katil ‘single’ di setiap bilik, pada harga sewaan RM 150 untuk satu malam. Mereka yang berminat dengan fasiliti yang ditawarkan ini bolehlah menghubungi Pejabat SPF Mata Ayer di talian 04-9456235. 

“Semua kemudahan ekopelancongan di stesen ini adalah berkonsepkan alam semula jadi dan melibatkan elemen pendidikan serta kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam kepada pengunjung," katanya menambah, lokasi SPF itu yang terletak di laluan utama merupakan tempat persinggahan pelancong sebelum meneruskan percutian ke negara jiran.

Ismail pada masa sama berharap lebih banyak dana bagi tujuan ekopelancongan dapat disalurkan kepada FRIM khususnya SPF Mata Ayer bagi membantu meningkatkan jumlah pengunjung yang datang   sekali gus menyumbang kepada sektor ekonomi dan pelancongan negeri itu.

“Tambahan pula, SPF Mata Ayer dimasukkan ke dalam peta pelancongan Perlis dan bertepatan dengan hala tuju pelancongan bersempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025,” katanya.

 

BENGKEL LARIK

Menyentuh mengenai Bengkel Larik, Ismail berkata ia dijadikan sebagai pusat latihan komuniti untuk penghasilan produk jati bernilai tinggi hasil daripada penjarangan pokok jati melalui dana Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Penjarangan ialah aktiviti mengurangkan jumlah tanaman bagi memberi ruang untuk tanaman yang tinggal tumbuh lebih besar.

“Terdapat pelbagai jenis mesin pemprosesan kayu berdiameter kecil disediakan di bengkel ini dan komuniti yang terlibat dalam projek ini dilatih oleh saintis FRIM sendiri. Pusat latihan ini mampu membantu komuniti setempat untuk menjana sumber pendapatan melalui penjualan produk kraftangan berasaskan jati di samping dapat mewujudkan peluang pekerjaan.

pic-4

“FRIM dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Perlis dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) juga sedang berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan Geographical Indicator (GI) (Petunjuk Geografi) bagi produk yang dihasilkan.

(Petunjuk geografi adalah tanda yang digunakan ke atas sesuatu produk kerana produk tersebut mempunyai kualiti dan reputasi yang boleh dikaitkan dengan kawasan berkenaan)

“Ini secara langsung dapat mengangkat produk kraf jati Perlis ke peringkat yang lebih tinggi termasuk antarabangsa,” katanya menambah, bengkel itu turut dibuka untuk lawatan pembelajaran bagi pelajar, institusi pengajian, jabatan dan agensi tertentu melalui tempahan yang dibuat.

 

PRODUK CENDERAHATI

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai Bengkel Larik, Pengarah Bahagian Inovasi dan Komersialisasi FRIM Mahmudin Saleh berkata, antara produk jati yang dihasilkan  di bengkel itu ialah cenderahati dan produk hiasan dalaman rumah.

Jika sebelum ini sisa atau lebihan kayu jati dibiarkan begitu sahaja namun dengan inisiatif ini hasil sisa produk akan digunakan semaksimum mungkin bagi menghasilkan produk lain walaupun hanya dengan saiz diameter yang kecil.  

Beliau berkata, FRIM mengambil inisiatif untuk mengguna pakai keseluruhan bahan mentah pokok jati dengan memberi nilai tambah kepada produk yang dihasilkan seperti cokmar, tongkat, rehal dan mangkuk kecil. 

“Sebenarnya pelbagai produk kita boleh buat. Kita bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Kraftangan Malaysia dan juga komuniti di sini. Sebelum ini kita menguar-uarkan berhubung program latihan ini serta bagaimana produk akhirnya nanti kita boleh jual. 

“Rupa-rupanya di sini memang ada komuniti yang aktif mengukir produk daripada kayu terbuang yang dipanggil hasil rimba dan mereka bergerak aktif dengan Kraftangan Malaysia. Kami menjemput mereka menyertai program ini dengan menghadiri kelas, seminar, bengkel latihan serta lawatan ke cawangan FRIM yang lain,” katanya menambah, ketika ini terdapat 12 orang pengukir di bengkel itu dan mereka yang berminat mendapatkan produk jati boleh datang ke SPF berkenaan atau membuat tempahan secara dalam talian.

Menurut Mahmudin, selain berbincang dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk mendapatkan perlindungan harta intelek (IP) terutamanya dalam aspek Petunjuk Geografi, soal penjenamaan turut dibangkitkan agar produk jati yang dihasilkan di SPF Mata Ayer terjamin kualiti dan keasliannya.

pic-5

Beliau berkata, jalinan kerjasama dengan MYIPO, Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri Perlis dan Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis berusaha mewujudkan satu pelan induk untuk produk jati termasuk cadangan kepada Kerajaan Negeri Perlis untuk mewujudkan penjenamaan- Royal Perlis Jati Craft, yang dilihat mampu melonjakkan produk jati Perlis ke peringkat antarabangsa. 

Bagi Exco Pelancongan Perlis Wan Badariah Wan Saad pula, kerjasama erat antara agensi kerajaan pusat dan negeri penting bagi merancakkan perkembangan sektor pelancongan negeri itu serta membantu meningkatkan kadar kedatangan pelancong.

“Di Perlis kita menyajikan kelainan kerana di sini kita masih mengekalkan suasana semula jadi kampung dan kelestarian alam. Sebagai contoh di SPF Mata Ayer ini, pengunjung dapat merasai pengalaman ekopelancongan apabila duduk dalam hutan jati.

“Dalam masa sama kita juga tidak menafikan kemodenan dengan adanya fasiliti seperti tapak campervan jati yang pengunjung boleh datang bermalam di sini dan menikmati suasana berbeza,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer.

 

RUANGAN SISI

Selain penanaman jati, SPF Mata Ayer turut menjalankan penyelidikan, antaranya, projek ‘Pengumpulan Spesies Terancam dan Berkepentingan Bagi Tujuan Pengukuhan Germplasma’ yang mensasarkan kutipan sebanyak 100 spesies itu, berdasarkan pengelasan status konservasi terancam dari Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) Red List.

Plot bank klon atau koleksi sumber genetik yang menempatkan aset bernilai ini ditubuhkan di dalam stesen ini.

Selain itu, plot penyelidikan spesies lain juga ditubuhkan bagi menjalankan kajian biak baka spesies ladang hutan seperti plot ujian klon jati, plot progeni meranti temak nipis dan meranti sarang punai serta plot “common garden” meranti temak nipis.

Selain merancang untuk mewujudkan tapak aktiviti glamping, pusat memancing dan kawasan berkelah di SPF Mata Ayer pada masa akan datang, FRIM turut berhasrat mempakejkan aktiviti ekopelancongan ini bersama pakej lawatan ke Gua Kelam dan Wang Kelian View Point di bawah kelolaan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.

Ia bagi tujuan meningkatkan jumlah pengunjung ke negeri itu sekali gus menjadikan Perlis sebagai destinasi pelancongan pilihan utama.

 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan