AM

Murid Sra Berarak Keliling Kampung, Semarakkan Bulan Kebangsaan

23/08/2023 08:41 PM

JASIN, 23 Ogos (Bernama) -- Bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan, seramai 178 murid Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Berangan Enam hari ini berarak mengelilingi kampung sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Guru Besar SRA JAIM Berangan Enam Nurulhuda Ahmad berkata program Kembara Merdeka dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu turut disertai lebih 30 ibu bapa murid.

"Sambutan seumpama ini diadakan setiap tahun cuma kali ini kita membuat kelainan dengan berarak kira-kira dua kilometer sekitar Kampung Berangan Enam sambil menyanyikan lagu patriotik dan murid memakai pakaian berwarna Jalur Gemilang. 

"Apa yang lebih penting program ini bertujuan menyuburkan perasaan cintakan negara dalam kalangan masyarakat sekali gus menyemarakkan kibaran Jalur Gemilang," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Selain berarak, murid SRA JAIM Berangan Enam turut berpeluang menyaksikan persembahan silat di Persatuan Seni Silat Gerak Tepat Melaka.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG SRA JAIM Berangan Enam Kamaruzaman Md Yasin berkata program itu dapat menyemai semangat patriotik dalam kalangan generasi muda.

Beliau berkata dalam meraikan hari kemerdekaan negara, penting untuk murid diberi kesedaran bagi menghargai keamanan yang dikecapi selama ini.

"Kali ini kita bawa anak-anak kecil ini (murid) menyaksikan persembahan silat bagi menanam jati diri mereka," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan