KOTA BHARU, 23 Ogos (Bernama) -- Kelantan akan menggunakan logo dan tema yang sama dengan kerajaan Persekutuan bagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, kata Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Bagaimanapun, beliau berkata Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) yang bermesyuarat hari ini turut bersetuju menambah cogan kata kerajaan negeri pada tema yang diperkenalkan kerajaan Persekutuan.
“Tema sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Kelantan kita kekalkan seperti tema yang digunakan di peringkat Persekutuan iaitu Malaysia MADANI:Tekad Perpaduan Penuhi Harapan.
“Tetapi ia disambung dengan Membangun Bersama Islam yang kita jadikan cogan kata kerajaan negeri,” katanya pada pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan di sini, yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Sebelum ini, Ketua Pemuda Perikatan Nasional(PN) Ahmad Fadhli Shaari mengumumkan empat negeri di bawah pentadbiran PN mungkin menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza untuk sambutan peringkat negeri.
Mohamed Fadzli juga berkata sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri akan diadakan lebih awal iaitu pada 30 Ogos bermula 6.30 petang di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV.
“Program kemudian akan diteruskan di dalam stadium melibatkan acara perbarisan dan perarakan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial