AM

400 Pakaian Batik Malaysia Warnai Sambutan Hari Kebangsaan 2023

23/08/2023 01:33 PM

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR 23 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 400 helai pakaian batik Malaysia bertemakan semangat kemerdekaan bakal mewarnai sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) Isnaniyah Ismail berkata baju kemeja lelaki dan wanita itu bakal dipakai oleh barisan Jemaah Menteri, tetamu kehormat serta urus setia sambutan Hari Kebangsaan 2023 nanti.

"Kami menyediakan batik Malaysia alternatif daripada bahan tanah liat dengan menggunakan teknik sutera saring bermotifkan bunga raya dan belang Harimau Malaya bagi kemeja yang dipakai barisan Jemaah Menteri dan tetamu kehormat.

"Bagi urus setia pula, mereka akan memakai pakaian batik Malaysia menggunakan teknik sutera saring bermotifkan gabungan bunga cengkih, bunga tanjung dan awan cina," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Isnaniyah berkata penyediaan batik khas itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Digital sempena sambutan Hari Kebangsaan, sebagai langkah memperkenalkan kepada khalayak ramai mengenai batik Malaysia yang merupakan warisan dan lambang identiti Malaysia.

Beliau berkata semua kemeja berkenaan dihasilkan oleh pereka dalaman Kraftangan Malaysia melibatkan empat usahawan kraf batik dari Selangor serta Perak dan berjaya disiapkan dalam tempoh sebulan.

Isnaniyah berkata pihaknya juga meneruskan kempen ‘Ini Batik Malaysia’ melalui aktiviti jerayawara yang melibatkan warga kementerian, jabatan, agensi dan institusi pengajian tinggi.

Katanya ia bertujuan menarik minat orang ramai khususnya penjawat awam menggunakan batik Malaysia bukan sahaja pada setiap Khamis, tetapi turut digalakkan pemakaiannya pada hari bekerja lain serta semasa acara rasmi selari dengan surat edaran Jabatan Perkhidmatan Awam bertarikh 21 Ogos 2023.

“Adalah menjadi harapan kami, agar semua masyarakat dapat membudayakan batik Malaysia dengan menonjolkan semangat patriotik terhadap khazanah negara itu,” katanya.

Bagi menzahirkan semangat patriotisme, Isnaniyah berkata Kraftangan Malaysia tidak ketinggalan mengibar Jalur Gemilang di semua premisnya sepanjang Bulan Kebangsaan ini.

“Kami juga akan mengadakan beberapa program bersempena Hari Kebangsaan antaranya Festival Kraf Perak di Dataran Menara Condong, Teluk Intan, Perak pada 25 Ogos hingga 3 Sept; Festival Kraf Borneo di pusat beli-belah 1 Borneo Kota Kinabalu, Sabah (24 Ogos hingga 10 Sept), Promosi Merdeka di Kompleks Kraf Johor dan Angsana Johor Bahru, Johor  (25 Ogos hingga 3 Sept) serta Promosi Merdeka di Aeon Mall Melaka (29 Ogos hingga 9 Sept).

“Kepada pelawat yang berkunjung ke Kompleks Kraf Kuala Lumpur, mereka juga boleh mendapatkan diskaun jualan produk kraf sehingga 50 peratus sepanjang Bulan Kebangsaan ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan