KUALA TERENGGANU, 22 Ogos (Bernama) -- Tepak sirih tembaga yang mencerminkan nilai dan budaya dalam tradisi Melayu tidak pernah lapuk ditelan zaman, sehingga kini ia masih memainkan “peranan” sebagai penyeri dalam upacara penting seperti adat meminang atau majlis perkahwinan.
Menurut Pengurus SA Unique Craft Shaiful Sani Zakaria, tepak sirih tembaga antara tempahan paling kerap diterima dan permintaannya semakin meningkat ketika cuti penggal sekolah yang sinonim dengan “musim kenduri”.
"Tak menang tangan kami terima tempahan tepak sirih waktu cuti sekolah sebab ada banyak kenduri bertunang dan kahwin. Pelanggan suka guna tepak sirih tembaga sebab nampak lebih eksklusif dan berseri," katanya kepada Bernama di bengkel tembaga, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu di Chendering dekat sini.
Shaiful Sani berkata bengkelnya mampu menyiapkan hingga 10 set tepak sirih tembaga dalam seminggu kerana tenaga kerja mahir yang terhad dan bahan mentah iaitu tembaga agak sukar diperoleh pada masa ini.
"Set tepak sirih ini biasanya ada kacip dan cembul iaitu beberapa bekas kecil untuk letak kapur, gambir dan lain-lain bahan yang biasanya dimakan dengan sirih dan pinang. Dalam majlis bertunang biasanya tepak sirih ini diletak di depan tetamu, sambil-sambil pihak bakal pengantin berbincang," katanya.
Shaiful Sani berkata terdapat dua jenis tepak sirih yang sering ditempah iaitu jenis petak atau bulat dan penetapan harga bagi setiap jenis set berbeza mengikut tahap kesulitan proses penghasilannya.
"Bagi tepak jenis petak harganya bermula serendah RM280, manakala tepak bulat prosesnya lebih rumit jadi harganya lebih mahal bermula RM380 satu set," katanya yang hanya dibantu seorang tenaga kerja mahir di bengkelnya.
Katanya lagi, ada juga pelanggan yang menempah tepak sirih bersekali dengan kaki lilin, bekas bunga telur serta bekas merenjis air mawar untuk digunakan dalam majlis perkahwinan Melayu tradisional.
Berhubung cabaran untuk membuat tepak sirih tembaga, Shaiful Sani berkata suhu sangat panas dan berdebu menyebabkan ramai yang tidak mampu bertahan dalam bidang itu, selain kesukaran memperoleh stok tembaga dalam kuantiti yang banyak dan kekurangan tenaga kerja mahir.
"Harga tembaga kalau beli dekat tempat besi buruk sangat mahal, tapi mujurlah kadang-kadang dapat bantuan daripada pihak Kraftangan sebab berdaftar sebagai usahawan tembaga, dapatlah harga murah sikit," katanya.
Bagi mengembangkan perusahaannya, Shaiful Sani sering menyertai festival kraf tangan di seluruh negara dan biasanya stok yang dibawa akan habis terjual.
Selain menghasilkan tepak sirih, beliau turut membuat peralatan dapur daripada tembaga seperti kuali dan senduk selain turut menerima tempahan cenderahati seperti replika keris atau peralatan muzik tradisional.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial