KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Zoo Negara merekodkan peningkatan jumlah pelawat sehingga 40 peratus bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.
Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly @ Rahmat Ahmat Lana berkata pusat pelancongan itu menerima sebanyak 332,635 pelawat bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini berbanding 197,386 pelawat tahun lepas.
"Jumlah pengunjung tertinggi diterima adalah pada Julai lepas iaitu sebanyak 58,063 orang manakala terendah adalah pada Februari apabila mencatatkan 38,413 orang.
"Jumlah peningkatan ini dipengaruhi oleh pertambahan pelbagai program di zoo seperti Program KeeperKu, Zoo Camp, dan Feed and Donate, sehingga berjaya menarik minat orang ramai dan organisasi korporat untuk hadir," katanya kepada Bernama.
Menurut Rosly, antara tarikan lain kedatangan pengunjung disebabkan kehadiran kucing 'Oyen' yang kini menjadi Star of Zoo Negara susulan keunikan persahabatannya dengan tikus gergasi Capybara sejak tiga tahun lepas.
Seorang pengunjung A. Nittiya, 36, teruja berpeluang membawa dua anaknya yang berusia sembilan dan dua tahun serta anak saudaranya berkunjung ke Zoo Negara selepas beberapa kali tertangguh.
"Saya rasa inilah masa sesuai bersama keluarga. Sebelum ini, kita sibuk dengan urusan kerja dan sekolah, jadi apabila ada waktu terluang, kita keluar berhibur di samping menambah ilmu pengetahuan. Biarpun cuaca panas, saya pastikan anak-anak kekal bertenaga,” katanya.
Pelancong dari Besut, Terengganu, Asraf Azmi pula berpeluang memanfaatkan tiket percuma yang diterima susulan baharu sahaja menyambut ulang tahun ke-31 pada 31 Julai lepas.
"Lagipun, sudah terlalu lama tidak ke sini. Jadi, inilah masanya untuk membawa anak dan isteri. Banyak yang dah berubah di Zoo Negara dan anak juga sangat seronok sebab dia memang suka binatang terutamanya apabila melihat aksi Oyen dan Capybara," katanya.
Bagi Sulastri Oktarina, 39, dari Padang, Indonesia, kesempatan melancong ke Malaysia selama lima hari bersama keluarga membawanya ke Zoo Negara bagi melihat sendiri keunikan taman haiwan itu.
"Ini kali pertama kami datang ke sini... saja-saja mahu berjalan. Harga tiketnya juga lebih murah berbanding zoo di Indonesia. Kawasannya juga bersih dan ada aktiviti menarik . Kami seronok melawatnya," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial