AM

Penyertaan Rakyat Dalam Program Hari Kebangsaan Amalan Pertahan Kemerdekaan - Jaffari

17/08/2023 02:57 PM

SANDAKAN, 17 Ogos (Bernama) -- Penyertaan rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya dalam memeriahkan program sambutan Hari Kebangsaan merupakan satu amalan yang menjurus kepada mempertahankan kemerdekaan negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri Dilantik Datuk Jaffari Waliam berkata kemerdekaan yang dikecapi daripada penjajah membolehkan semua kaum di negara ini diangkat sebagai satu keluarga besar dan bersatu di bawah naungan negara bernama Malaysia.

"Sebelum merdeka, bermacam-macam pengorbanan rakyat kita terdahulu mencapai kemerdekaan.

“Kita yang sekarang hidup aman dengan berbagai kaum harus mempertahankan kemerdekaan dan menyambutnya setiap tahun sebagai bukti kesungguhan kita mempertahankan kemerdekaan dan cintakan negara," katanya kepada pemberita selepas melepaskan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2023 peringkat Sabah di sini hari ini.

Mengenai program KMJG, Jaffari berkata ia satu inisiatif yang harus diteruskan supaya dapat membangkitkan kecintaan rakyat semua latar belakang di setiap daerah di Sabah terhadap keamanan dan kemerdekaan negara.

Bagi memastikan perpaduan rakyat terus terpelihara pada masa akan datang, Jaffari menasihatkan generasi muda supaya peka tentang semangat perpaduan kerana mereka merupakan pelapis yang menjadi penentu hala tuju negara.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat Karamunting Datuk Chew Kok Woh pula berharap generasi muda terus mempertahankan perpaduan yang sedia terjalin dengan mengamalkan sifat tolak ansur sesama kaum.

Beliau berkata selari dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’, sifat bertolak ansur dalam komuniti berbilang kaum mencerminkan sikap rendah diri dan hormat sesama kaum sekali gus mengutuhkan perpaduan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan