AM

Ybr Belanja Rm86,734 Bantu 102 Pesakit Kronik, Terlantar

15/08/2023 05:20 PM

KOTA BHARU, 15 Ogos (Bernama) -- Yayasan Bank Rakyat (YBR) membelanjakan sejumlah RM86,734 dalam usaha membantu 102 pesakit kronik dan terlantar di negara ini dari Januari lepas hingga sekarang.

Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata inisiatif itu dijalankan setelah badan bukan kerajaan (NGO) itu terpanggil untuk tampil membantu pesakit yang mengalami masalah kewangan.

“Sumbangan ini melibatkan penyediaan kerusi roda, katil pesakit, tongkat dan beg stoma yang sangat diperlukan oleh penghidap strok, buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi.

“Bantuan ini tidak besar namun ia mungkin dapat mengurangkan penderitaan yang perlu ditanggung untuk membeli keperluan harian dan ubat-ubatan memandangkan mereka tidak mempunyai sumber pendapatan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menziarahi dan menyerahkan bantuan kepada Moreena Mohamed, 59, yang lumpuh separuh badan dan dijaga cucunya Mohammad Hairis Haikal Abdullah, 11, di Kampung Batu 8, Jalan Kuala Krai, di sini hari ini.

Syaiful Rizal berkata YBR turut memberi sumbangan RM3,000 dan kerusi roda bagi meringankan beban dialami wanita tersebut yang sebelum ini bekerja sebagai pengutip besi buruk untuk menyara kehidupan sebelum diserang strok April lepas.

"Kita berharap lebih ramai lagi organisasi di luar sana dapat menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan mengikut kemampuan sendiri,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan