KOTA BHARU, 15 Ogos (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah melaksanakan Program Penarafan Masjid ke atas kesemua 611 masjid mukim di negeri itu sejak Februari lepas.
Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata program penarafan masjid itu mengguna pakai modul Standard Penarafan Masjid Malaysia (SPMM) yang diperkenalkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Beliau berkata menerusi program penarafan itu didapati lima masjid telah mencapai lima bintang, manakala taraf empat bintang ( 21), tiga bintang (194), dua bintang (318) dan satu bintang (73).
“MAIK juga kini giat mengkaji untuk menaik taraf masjid yang telah mencapai status lima bintang untuk diangkat ke status masjid lebih tinggi iaitu Kelas A,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Amanat dan Pengurniaan Anugerah Penarafan Masjid Negeri Kelantan 2023 serta Penyampaian Watikah Pelantikan Pegawai Masjid Mukim melibatkan 99 penerima di sini hari ini.
Mohamad Rizam berkata pelaksanaan modul berkenaan telah dilaksanakan di beberapa negeri tetapi hanya masjid tertentu dipilih untuk penilaian.
“Bagaimanapun, MAIK telah menjalankan penilaian dan penarafan untuk semua masjid di Kelantan dan menjadikan ia negeri pertama melaksanakan program ke atas semua masjid di bawah kawalannya.
“Penarafan ini diketuai Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Profesor Dr Mohd Adri Che Noh yang juga penggubal modul SPMM dan maklumat diterima akan diguna pakai oleh MAIK bagi menyediakan perancangan menaik taraf serta membangunkan pelan berkesan terhadap masjid terlibat,” katanya.
Menurutnya pihak MAIK juga telah mengumumkan beberapa perkara melibatkan kebajikan pegawai masjid mukim termasuk Cuti Rehat Tahunan dinaikkan daripada 10 hari kepada 20 hari setahun.
Selain itu, katanya Ganjaran Penamatan Perkhidmatan tahunan juga dinaikkan daripada RM400 kepada RM1,000 bagi Imam Tua, RM350 kepada RM800 bagi Imam Muda dan RM300 kepada RM600 kepada Bilal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial