POLITIK

Prk Pulai, Simpang Jeram: Amanah Johor Serah Senarai Calon Esok

14/08/2023 06:26 PM

BATU PAHAT, 14 Ogos (Bernama) -- Parti Amanah Johor akan menyerahkan senarai penuh nama calon-calon bertanding mewakili Pakatan Harapan (PH)  bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram kepada kepimpinan pusat, esok.

Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan, berkata meskipun pihaknya telah memuktamadkan senarai nama calon bagi pilihan raya itu, namun beliau enggan mendedahkannya kerana keputusan akhir hanya akan ditentukan oleh kepimpinan pusat.

"Selepas kita (Amanah Johor) menyerahkan nama-nama calon, kepimpinan pusat akan membuat penilaian…mereka ada penilaian mereka tersendiri, malah akan meneliti calon yang benar-benar layak.

"Ini kerana pengundi di Johor berbeza dengan pengundi di negeri lain dan kita perlu lebih teliti dan juga berhati-hati menentukan calon agar ia mampu menarik perhatian pengundi," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Berhubung persiapan jentera bagi menghadapi pilihan raya itu, beliau berkata ia sudah pun digerakkan dan dalam masa terdekat pihaknya akan bertemu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagi membincangkan kerjasama jentera Kerajaan Perpaduan.

Aminolhuda, yang juga Timbalan Pengerusi PH Johor, berkata pihaknya tidak akan mengambil ringan mengenai pertambahan sokongan pengundi terhadap Perikatan Nasional (PN) terutamanya ketika pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri, kelmarin.

"Sokongan pengundi terhadap PN ada peningkatan dan ini memerlukan parti meletakkan calon terbaik dan tepat, dalam masa sama kita akan berkempen dengan cara sederhana, tidak agresif dan tidak melakukan provokasi," katanya.

Sementara itu, Aminolhuda, menerusi hantaran di laman Facebooknya,berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Saujana, Johor Bahru, semalam bagi membincangkan mengenai PRK itu.

Ahli Parlimen Sri Gading itu berkata Menteri Besar juga menzahirkan kesedihan atas kematian Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sambil menyatakan komitmen beliau untuk membantu calon PH di kedua-dua kerusi berkenaan.

"Jalinan kemesraan ditunjukkan Datuk Onn Hafiz dalam pertemuan bersama kepimpinan Amanah Johor di kediaman beliau petang semalam menjelaskan bahawa hubungan PH dan Barisan Nasional (BN) Johor adalah dalam keadaan baik dan harmoni," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya  (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos ini, manakala pengundian awal 5 Sept dan hari pengundian pada 9 Sept ini.

PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan ekoran kekosongan luar jangka berikutan kematian pengejut penyandangnya Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan