KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Inisiatif Dana Iklan Digital OHSEM membuka peluang kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutama mereka yang baru berkecimpung dalam dunia perniagaan untuk memperkenalkan produk mereka ke pasaran lebih luas.
Penjual biskut kecil-kecilan Naziroh Mohamad Ali, 41, dari Kampung Sedaka di Yan, Kedah berkata sebagai peniaga baharu beliau tidak mempunyai modal besar untuk pengiklanan.
“Ini (OHSEM) boleh meringankan beban usahawan ibu tunggal macam saya dan juga usahawan PKS lain,” katanya kepada Bernama.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil hari ini melancarkan Dana Iklan Digital OHSEM bernilai RM21 juta, antara inisiatif menggalakkan usahawan PKS membuat pengiklanan menerusi platform kandungan tempatan.
Beliau berkata jika sebelum ini PKS perlu membayar RM8,000 untuk capai 100,000 audiens, menerusi inisiatif itu mereka hanya perlu membayar RM1,000 sahaja, iaitu diskaun sehingga lebih 85 peratus.
Sementara itu, pengusaha Pekasam Shazam, Sharifah Nurul Shahida Syed Abdul Rahman, 37, dari Kamunting, Perak menyifatkan OHSEM sebagai tawaran yang amat berbaloi untuk pakej pengiklanan.
Katanya beliau menggunakan media sosial sepenuhnya untuk mempromosikan produk kerana perbelanjaan pengiklanan di sesebuah platform dalam talian melibatkan kos yang tinggi.
“Melalui pelancaran dana ini, saya merasakan ia sangat berbaloi jika hendak dibandingkan dengan kos iklan yang mencecah RM5,000 hingga RM6,000.
“Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana hampir setiap hari akan ada bantuan dan pengumuman baik kepada rakyat,” katanya.
Pengusaha Tanjak Merdeka, Iskandar Zulkarnain Zaharin, 39, dari Ipoh, Perak berkata inisiatif itu membantu mengurangkan beban kos usahawan PKS.
Katanya, beliau sebelum ini pernah meminta sebuah syarikat membuatkan laman web produk untuknya, namun terkejut kerana kos bahan edaran dan promosi sahaja sudah mencecah RM1,000 dan tidak termasuk kos pengiklanan.
“Disebabkan itu, saya hanya tertumpu kepada pengiklanan menerusi media sosial milik saya sahaja.
“Saya akan berkongsi berita ini kepada rakan-rakan yang lain juga kerana ini merupakan satu berita yang baik buat kami,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial