AM

Papan Tanda Amaran Dipasang Di Persiaran Mokhtar Dahari

10/08/2023 01:37 PM

SHAH ALAM, 10 Ogos (Bernama) -- Papan tanda amaran akan dipasang di persiaran Mokhtar Dahari dari Puncak Alam menghala Shah Alam berdekatan sebuah stesen minyak di sini, berikutan kejadian kemalangan yang kerap berlaku di kawasan berkenaan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata hasil tinjauan di lokasi terbabit mendapati jalan berkenaan berbukit dan sibuk dengan kenderaan yang lalu-lalang, namun berada dalam keadaan baik termasuk telah dipasang lampu jalan.

Beliau difahamkan kebanyakan kemalangan berpunca daripada pengguna yang tidak mematuhi peraturan jalan raya dengan membelok ke kanan untuk ke stesen minyak walaupun terdapat garisan berkembar di jalan itu.

“Jadi, untuk langkah segera saya memberitahu pihak JKR (Jabatan Kerja Raya) negeri untuk menambah papan tanda jalan (dilarang membelok ke kanan) untuk pengguna lebih berwaspada dan tidak membelok di kawasan tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Nanta, kawasan tersebut mencatatkan lima kejadian kemalangan sejak 2020 termasuk satu kemalangan maut yang berlaku petang semalam, membabitkan seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Puncak Alam. 

“Kita mengambil perhatian dengan kekerapan kemalangan berlaku di jalan ini termasuk yang tular di media sosial. Walaupun ini jalan negeri tetapi JKR juga mempunyai tanggungjawab bersama dengan kerajaan negeri untuk memastikan keselamatan di jalan raya,” katanya.

Beliau berkata JKR negeri memaklumkan terdapat perancangan untuk melebarkan jalan di kawasan terbabit dan akan membina pembahagi jalan untuk mengelak kenderaan daripada membelok di kawasan berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan