AM

LAMAN SESAWANG MENGENAI INISIATIF KERAJAAN BANTU MASYARAKAT INDIA SEDANG DIBANGUNKAN

08/08/2023 06:06 PM

PETALING JAYA, 8 Ogos (Bernama) -- Kerajaan sedang membangunkan sebuah laman sesawang untuk menyenaraikan semua inisiatif dan bantuan yang tersedia bagi manfaat masyarakat India di negara ini, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi K. Saraswathy.

Beliau berkata langkah itu diambil kerana masih ramai masyarakat India tidak mendapat maklumat mengenai pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan Kerajaan Perpaduan bagi membantu masyarakat itu.

“Kemungkinan mereka tidak mempunyai akses kepada saluran untuk mendapatkan maklumat tersebut,” katanya pada sidang media mengenai inisiatif Kerajaan Perpaduan untuk membantu kaum India, di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), di sini hari ini.

Selain itu,  Saraswathy berkata kerajaan khususnya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) akan turut bekerjasama dengan beberapa dewan perniagaan bagi memudahkan masyarakat mendapat maklumat mengenai inisiatif yang dilaksanakan. 

“Mereka akan menjadi ejen pemberi maklumat dan membantu usahawan yang ingin memohon bantuan dan geran untuk mengisi borang serta menyiapkan dokumentasi yang berkaitan apabila ada (bantuan) yang dibuka,” katanya.

Saraswathy yang juga Naib Presiden PKR itu berkata, kerajaan memberi keutamaan untuk meningkatkan pembabitan masyarakat India dalam aktiviti keusahawanan, selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menoktahkan kemiskinan tegar pada tahun ini.

“Perdana Menteri percaya salah satu cara untuk mengeluarkan masyarakat India daripada belenggu kemiskinan tegar adalah dengan melibatkan mereka dalam sektor ekonomi iaitu keusahawanan,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, Saraswathy berkata Kuskop mendapati sekitar 30 peratus koperasi berdaftar kini tidak aktif atau tidak beroperasi kerana masalah tatakelola dan tataurus. 

“Kami sedang mengambil langkah untuk memperbetulkan koperasi yang mempunyai masalah sedemikian,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan