JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Kesan Pelaburan Palsu Guna Logo Phililip Capital

07/08/2023 10:53 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengesan kegiatan mempromosikan pelaburan saham yang dipercayai menipu dengan menggunakan logo sebuah syarikat kewangan terkemuka antarabangsa, ‘Phillip Capital’, menerusi aplikasi Telegram.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata sindiket itu menawarkan pakej pelaburan serendah RM500 hingga RM10,000  dengan menjanjikan keuntungan bermula RM15,000 hingga RM610,000, seawal tiga jam selepas pelaburan dibuat.

"Kita percaya penggunaan logo syarikat itu adalah bertujuan memperdayakan mangsa dan memberikan gambaran kononnya skim terbabit dikendalikan oleh syarikat berkenaan.

“Syarikat terlibat juga telah membuat laporan polis bagi menafikan penglibatan mereka dengan skim pelaburan berkenaan," katanya, dalam kenyataan ,hari ini. 

Ramli berkata setakat ini pihaknya menerima satu laporan daripada mangsa yang melibatkan kerugian RM10,370 dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

Ramli turut menasihati orang ramai yang menjadi mangsa skim ini supaya tampil membuat laporan polis dan melakukan semakan terperinci sebelum menyertai sebarang skim pelaburan selain mendapatkan maklumat lanjut daripada sumber rasmi seperti Alert List Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Katanya, orang ramai perlu sentiasa berwaspada dan tidak terpengaruh dengan skim pelaburan yang menawarkan keuntungan terlalu lumayan dalam masa singkat.

“Syarikat kewangan yang tulen tidak akan mempromosikan skim pelaburan mereka melalui kumpulan sembang di media sosial,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan