AM

Persidangan Komuniti Pertanian Kebangsaan Bantu B40 Jana Pendapatan Melalui Aktiviti Pertanian

06/08/2023 06:29 PM

SERDANG, 6 Ogos (Bernama) -- Fakulti Pertanian Universiti Putra (UPM) menganjurkan Persidangan Komuniti Pertanian Kebangsaan 2023 (PKPK 2023) bertujuan membantu komuniti kategori B40 untuk menjana pendapatan melalui aktiviti pertanian.

Naib Canselor UPM Profesor Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata PKPK 2023 yang diadakan buat julung kali selama dua hari bermula semalam merupakan platform antara pihak UPM dan kira-kira 3,000 peserta untuk bersama-sama bertemu, berkongsi dan bertukar-tukar pengalaman dan ilmu bagi memperkasakan aktiviti pertanian.

"Penganjuran PKPK 2023 adalah sejajar dengan hasrat universiti untuk mengukuhkan agenda sekuriti makanan negara menerusi penglibatan universiti bersama komuniti. 

"Pemindahan ilmu oleh pakar UPM dapat membantu komuniti kategori B40 untuk menjana pendapatan sampingan melalui aktiviti pertanian serta membantu negara dalam meningkatkan sekuriti makanan di Malaysia," katanya kepada Bernama selepas Majlis Penutupan PKPK 2023, di sini hari ini.

Beliau berkata selain berkongsi ilmu tanaman, para peserta juga diajar untuk menghasilkan produk yang boleh dikomersialkan.

"Selain itu, melalui persidangan ini juga para peserta berkongsi pengalaman mereka berkenaan masalah yang dihadapi dalam aktiviti pertanian, dan kami di UPM sebagai perantara mencari bentuk praktis terbaik untuk sesuatu masalah," katanya.

Mohd Roslan berkata PKPK 2023 juga berjaya mencipta kejayaan dengan menerima sijil pengiktifaran daripada Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai The First National Community Farming Conference.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan