KOTA KINABALU, 6 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 51,400 Jalur Gemilang dan bendera Sabah telah diagihkan setakat ini kepada jabatan, agensi kerajaan dan pihak berkaitan untuk dipasang di seluruh Sabah bagi memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Urusetia Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata daripada jumlah itu 6,000 Jalur Gemilang dan 6,000 bendera Sabah telah diserahkan kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) pada 1 Ogos lepas.
"Jabatan Penerangan Sabah telah menerima 10,000 Jalur Gemilang dan 9,000 bendera negeri Sabah," katanya ketika dihubungi Bernama.
Masidi yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata 9,000 Jalur Gemilang dan 11,400 bendera Sabah juga turut diagihkan untuk kawasan daerah-daerah di seluruh Sabah.
Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa meneruskan usaha memupuk semangat patriotisme dan kenegaraan dalam kalangan rakyat di negeri itu dengan memasang bendera di tempat awam, kenderaan dan sekitar bandar raya.
Katanya pemasangan bendera tersebut masih berterusan dan telah diagihkan ke premis-premis perniagaan bagaimanapun pemilik premis bertanggungjawab untuk kerja-kerja pemasangan bendera.
"Saya menjemput seluruh rakyat Sabah untuk bersama menampilkan semangat kesatuan dan kebanggaan kita sebagai rakyat Malaysia dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah," katanya.
Sementara itu, veteran Angkatan Tentera Darat Sjn (B) Jindeh Ojeh, 70, berkata meskipun sudah memasuki Bulan Kebangsaan namun kemeriahan kibaran Jalur Gemilang dan bendera negeri Sabah masih kelihatan suram, justeru orang ramai perlu bersama memeriahkannya.
Beliau yang telah berkhidmat selama 16 tahun dalam angkatan tentera pada 1975 sehingga 1991 berkata bendera Jalur Gemilang adalah lambang patriotisme sebuah negara merdeka yang aman dan perlu dipertahankan.
Katanya apabila berkibarnya Jalur Gemilang itu menandakan negara itu aman dan harmoni kerana bukan mudah mendapatkan keamanan yang diperjuangkan anggota keselamatan terdahulu, hari ini dan selamanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial