JOHOR BAHRU, 5 Ogos (Bernama) -- Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim buat julung kalinya berkenan memimpin jelajah Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2023 edisi ke-23.
Turut berkenan berangkat mengiringi isteri Tunku Mahkota Johor Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam.
Berangkat sama dalam konvoi Diraja itu, adinda Tunku Mahkota Johor iaitu Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim serta suami Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim Datuk Dennis Muhammad Abdullah.
Menurut hantaran Facebook rasmi Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, majlis pelepasan KMJ 2023 diadakan di Istana Pasir Pelangi di sini hari ini.
"Jelajah KMJ Edisi Ke-23 itu, merentasi 10 daerah dengan perjalanan sejauh 879 kilometer selepas kali terakhir diadakan pada 2019 sebelum pandemik COVID-19," menurut hantaran itu hari ini.
KMJ diilhamkan oleh Sultan Ibrahim pada 2001 sewaktu baginda merupakan Tunku Mahkota Johor yang bertujuan menyelami denyut nadi rakyat jelata.
Sejak itu, KMJ telah menjadi satu daripada acara utama tahunan Johor dan telah merapatkan perhubungan Istana Johor di hati rakyat.
Terdahulu, acara pelepasan konvoi Diraja itu disempurnakan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Dr Abdul Rahim Ramli.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial