AM

Penglibatan Penggiat Seni Pelbagaikan Advokasi Penyusuan Susu Ibu

05/08/2023 01:31 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Penglibatan penggiat seni dalam mempelbagaikan kaedah advokasi dan hebahan penyusuan susu ibu dapat mengupayakan dan memperkasakan amalan itu di Malaysia.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata ini kerana hasil karya penggiat seni seperti aktivis teater, penulis lagu dan lirik mempunyai daya tarikan tersendiri dan boleh mempengaruhi seluruh masyarakat mengenai kepentingan susu ibu kepada tumbesaran bayi.

“Pada tahun ini, Kementerian Kesihatan (KKM) ingin meluaskan usaha mempromosikan susu ibu dengan melibatkan pemegang taruh daripada bidang seni di Malaysia. 

“Pendekatan ini memberi kelainan kepada kaedah advokasi yang selama ini dilaksanakan selain menggalakkan penglibatan pelbagai pihak,” katanya ketika berucap secara maya dalam program sambutan Embracing Breastfeeding Through Arts hari ini. 

Beliau berkata melalui pendekatan ini juga dapat mencungkil bakat penggiat seni tempatan dalam mengolah amalan penyusuan susu ibu di Malaysia.

Dr Zaliha berkata Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia yang disambut kali ini adalah bertemakan ‘Mengupayakan Penyusuan Susu Ibu: Perubahan Bermakna kepada Ibu Bapa Berkerjaya’ dengan kerjasama Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2022 menunjukkan 94.9 peratus ibu di Malaysia pernah menyusukan bayi dengan susu ibu. 

Katanya, tinjauan yang sama juga menunjukkan seorang daripada dua kanak-kanak bawah umur dua tahun masih menyusu dengan susu ibu.

“Tinjauan Kebangsaan Kesihatan Malaysia pada 2016 juga menunjukkan peratusan ibu yang menyusukan bayi secara eksklusif sehingga bayi berumur enam bulan adalah sebanyak 47.1 peratus, kenaikan hampir empat kali ganda berbanding 2006 iaitu 14.4 peratus dan data ini menunjukkan kenaikan setiap tahun.

“Ini menunjukkan bahawa telah wujud kesedaran dalam kalangan ibu bapa bahawa penyusuan susu ibu amatlah penting untuk kesihatan dan kesejahteraan anak-anak mereka, bagaimanapun ia (data) masih jauh daripada sasaran global dan nasional iaitu 70 peratus,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan